Khamis, 14 Februari 2019 | 9:49am
Karim Benzema. - Foto Reuters

Benzema kini pemain ke-4 jaringan terbanyak Eropah

AMSTERDAM: Jaringan gol ke-60 dalam kempen Liga Juara-Juara di Johan Cruyff Arena membolehkan bintang Perancis, Karim Benzema muncul pemain keempat dengan jaringan terbanyak selepas membantu Real Madrid mengatasi Ajax, 2-1 dalam saingn pertama peringkat 16 terbaik, pagi tadi.

Benzema kini menyertai tiga pemain dengan jaringan terbanyak di Liga Juara-Juara iaitu Cristiano Ronaldo dengan 121 gol, diikuti Lionel Messi (106) dan Raul (71).

Benzema memecah kebuntuan dengan cubaan tepat pada minit ke-60 selepas mendapat umpanan daripada Vinicius Jr.

Ajax menyamakan kedudukan menerusi Hakim Ziyech pada minit ke-75, namun gol lewat Marco Asensio membantu Real memiliki  kelebihan pada aksi kedua 5 Mac depan.

Benzema memerlukan penampilan ke-110 untuk mencetak gol ke-60 itu dengan rekod membantu Real menjulang trofi berkenaan empat kali pada musim 2013–14, 2015–16, 2016–17 dan 2017–18.

Musim lalu, Benzema kelihatan bergelut untuk mengekalkan prestasi terbaiknya namun kembali meningkat selepas memulakan tahun baru musim ini.

Dalam saingan pagi tadi, Benzema jelas memainkan watak penting dengan peranan mendapatkan gol dalam enam penampilan di Liga Juara-Juara setakat ini.

Benzema dan rakannya kini bersemangat menanti kunjungan Ajax pada aksi kedua di Madrid pada 5 Mac depan. –  Agensi

 

Berita Harian X