Khamis, 14 Februari 2019 | 8:19am
PEMAIN Tottenham Hotspu, Son Heung-min diasak pemain Borussia Dortmund, Jadon Sancho pada aksi Liga Juara-Juara di Wembley, pagi tadi. - Foto Reuters

Spurs menang selesa di Wembley

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino memuji barisan pemainnya selepas mendapat bekalan selesa menjelang pertembung timbal balas kedua Liga Juara-Juara Eropah selepas menewaskan Borussia Dortmund 3-0 dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik, di Wembley pagi tadi.

Anak buah Pochettino bergelut untuk mendapat rentak di awal permainan yang menyaksikan Dortmund mendominasi permainan sepanjang babak pertama perlawanan di Wembley tetapi penjaga gol, Hugo Lloris beraksi cemerlang dengan menafikan beberapa percubaan berbahaya pasukan pelawat.

Bersambung babak kedua, Spurs mempamerkan kebangkitan dengan penyerang Korea Selatan, Son Heung-min membuka tirai jaringan pada minit ke-47, gol keempatnya dalam empat perlawanan terakhir.

Spurs menambah dua lagi gol pada lewat babak perlawanan menerusi tonggak pertahanan, Jann Vertonghen pada minit ke-83 dan Fernando Llorente tiga minit kemudian.


PEMAIN Tottenham Hotspur, Jann Vertonghen menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Borussia Dortmund pada aksi Liga Juara-Juara di Wembley, pagi tadi. - Foto AFP

Pochettino berkata anak buahnya berhak mendapat pujian di atas kemenangan itu selepas mereka berdepan dengan jadual perlawanan yang padat dan menyifatkan ia sebagai keputusan terbaik musim ini.

"Saya mahu mengucapkan tahniah kepada semua pemain. Ia perlawanan yang menakjubkan.

"Mereka adalah wira, mereka berhak untuk diberikan pujian di atas kerja keras yang ditunjukkan musim ini. Ia menakjubkan," kata Pochettino.

Walaupun Spurs masih perlu mengharungi aksi kedua di Signal Iduna Park pada 5 Mac depan, namun peluang kini terhidang buat pasukan itu untuk layak ke suku akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2011.

"Kemenangan 3-0 adalah keputusan yang baik tetapi ia hanya perlawanan pertama. Apabila kamu berdepan pasukan lawan seperti Dortmund, kamu perlu menghormati mereka," kata Pochettino.

Ia kemenangan yang menakjubkan buat Pochettino jika mengambil kira situasi yang dialaminya termasuk krisis kecederaan pemain utama yang melanda pasukan itu.

Dalam perlawanan itu, Spurs turun tanpa kelibat kapten, Harry Kane, Dele Ally, Danny Rose dan Ben Davies selepas masing-masing mengalami kecederaan. - AFP


PEMAIN Tottenham Hotspur, Fernando Llorente meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Borussia Dortmund pada aksi Liga Juara-Juara di Wembley, pagi tadi. - Foto Reuters

975 dibaca
Berita Harian X