Rabu, 13 Februari 2019 | 12:58pm
BEKAS pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane jadi calon menggantikan Maurizio Sarri yang masih kalut selepas kekalahan 0-6 kepada Manchester City. - Foto Agensi

Chelsea risik Zidane ganti Sarri

LONDON: Chelsea dilaporkan sedang menimbang untuk mendapatkan bekas bos Real Madrid, Zinedine Zidane sebagai pengganti kepada Maurizio Sarri.

Pengendali dari Perancis itu 'menganggur' sejak melepaskan jawatan di Real sebaik membantu bekas pasukannya itu merangkul gelaran Liga Juara Juara buat kali ketiga berturut-turut pada Mei lalu.

Sarri, yang masih kalut dengan kekalahan memalukan 6-0 di Manchester City, turut menjadi pertaruhan kalangan kaki judi sebagai pengurus Liga Perdana Inggeris (EPL) yang akan dipecat.

Selain Zidane, penolong jurulatih Chelsea, Gianfranco Zola turut dikaitkan dengan posisi berkenaan.

Kekalahan Chelsea di City menyaksikan mereka jatuh ke tangga keenam liga dan akhbar The Sun mendakwa betapa pihak pengurusan kelab sudah hilang kepercayaan terhadap Sarri.

Akhbar Britain itu melaporkan bahawa ia menjadi antara tajuk perbincangan pihak atasan Chelsea ketika ini untuk memilih waktu yang paling sesuai membawa masuk Zidane.

Bukan hanya masalah prestasi saja mencetuskan gusar, malah masa depan bintang utamanya Eden Hazard turut mendapat perhatian serius The Blues.

Hazard kini berada dalam 18 bulan terakhir kontraknya dan dia tampak berminat untuk berhijrah ke Real Madrid.

Namun, Zidane adalah idola Hazard dan ia secara tak langsung mungkin menjadi antara sebab lain Chelsea melihat pengendali berusia 46 tahun itu sebagai individu paling tepat untuk memujuknya setuju dengan tawaran kontrak di London.

Hazard menyertai Chelsea sejak 2012 daripada Lille. Dia pernah memenangi dua gelaran EPL dengan masing-masing satu Piala FA, Piala Liga dan Liga Europa. - AGENSI

Berita Harian X