Rabu, 13 Februari 2019 | 8:54am
Ole Gunnar Solskjaer. - Foto Reuters

PSG buat United merana

MANCHESTER: Ole Gunnar Solskjaer mengakui Manchester United dikejutkan dari lena selepas Paris Saint-Germain mencatat kemenangan 2-0 pada aksi pertama 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Solskjaer tewas buat kali pertama dalam 12 perlawanan sebagai pengendali sementara United apabila jaringan Presnel Kimpembe dan Kylian Mbappe pada separuh masa kedua menggegarkan Old Trafford.

   Lebih malang lagi, bintang United dan Perancis Paul Pogba turut dibuang pada minit-minit terakhir, menyebabkannya tidak dapat beraksi pada aksi kedua di Paris bulan depan.

   Ia hari yang cukup mengecewakakan bagi Solskjaer, yang mencetuskan semangat dalam kalangan pemain dan peminat United sejak menggantikan Jose Mourinho yang dipecat pada Disember.

   Solskjaer mengakui bahawa United, yang hanya melakukan satu percubaan tepat dalam aksi penuh longlai, memiliki kualiti yang jauh ketinggalan berbanding pasukan serperti juara Perancis.

   “Hari ini adalah kejutan realiti bagi kami dari aspek tahap dengan pasukan utama. Mereka memiliki momentum selepas gol pertama dan mengawal perlawanan,” kata Solskjaer.

   “Anda boleh lihat sudah lama kami tidak bermain pada tahap seperti ini dan perlu belajar.

   “Ia satu pengalaman yang boleh memberi kesan positif atau sebaliknya, bukannya penentu pencapaian musim ini, jika kita mahu belajar daripadanya.

   Penyingkiran Pogba adalah kemuncak aksi kurang bermaya daripada pemain yang membawa pengaruh besar terhadap kebangkitan United di bawah kendalian Solskjaer.

   Malah kecederaan Jesse Lingard dan Anthony Martial tidak membantu aksi United dan Solskjaer mengakui kehilangan kedua-dua pemain itu satu tamparan hebat buatnya. – AFP

 

1547 dibaca
Berita Harian X