Rabu, 13 Februari 2019 | 8:09am
PEMAIN PSG, Kylian Mbappe (kanan) diasak pemain Manchester United, Ander Herrera pada aksi Liga Juara-Juara di Old Trafford, pagi tadi. - Foto EPA

PSG dapat bekalan selesa di Old Trafford

MANCHESTER: Krisis kecederaan tidak menghalang Paris Saint-Germain (PSG) untuk menghadiahkan Manchester United kekalahan pertama di bawah pengendali sementara Ole Gunnar Solskjaer dengan mencatat kemenangan 2-0 dalam saingan peringkat 16 terbaik Liga Juara-Jauara di Old Trafford pagi tadi.

Ia sekali gus mencerahkan peluang mereka untuk mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara selepas membawa pulang bekalan gol yang selesa bagi menghadapi aksi timbal balik kedua dalam tempoh tiga minggu lagi.

Presnel Kimpembe dan Kylian Mbappe menghasilkan gol dalam tempoh tujuh minit pada babak kedua tatkala PSG akhirnya mempamerkan keupayaan mereka untuk menjulang gelaran Eropah buat kali pertama walaupun turun tanpa khidmat Neymar dan Edinson Cavani.

Selepas merekodkan 10 kemenangan dan satu seri dalam 11 perlawanan sejak Solskjaer menggantikan Jose Mourinho pada Disember lalu, kekalahan ini sudah tentunya memberi pengajaran bermakna kepada United dan mereka kini berdepan tugas sukar apabila berkunjung ke Paris dalam aksi kedua pada 6 Mac nanti.


PEMAIN PSG, Presnel Kimpembe (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Manchester United pada aksi Liga Juara-Juara di Old Trafford, pagi tadi. - Foto EPA

Gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu juga perlu menghadapi aksi kedua nanti tanpa kehadiran Paul Pogba selepas bintang Perancis itu dilayangkan kad merah selepas mengutip dua kad kuning hanya seminit sebelum aksi ditamatkan.

Juara Perancis itu tersingkir dua kali pada peringkat 16 terakhir sejak dua musim lalu kepada Barcelona dan Real Madrid.

Namun, PSG membuktikan betapa mereka mempunyai ramai lagi pemain bertaraf dunia walaupun tanpa kehadiran nama besar ketika United dilihat bergelut untuk bersaing dengan corak permainan hantaran pendek skuad kendalian Thomas Tuchel dan kepantasan Mbappe.

Malah, Angel di Maria yang diberikan sambutan hebat oleh penyokong tuan rumah dalam kepulangan semula ke Old Trafford selepas hanya semusim di sana turut menjadi duri dalam daging apabila mencipta dua gol berkenaan. - AFP

1597 dibaca
Berita Harian X