Rabu, 13 Februari 2019 | 12:22am
Penjaga gol Perak Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy berjaya menyelamatkan sepakan penalti pemain pasukan Kitchee SC pada pusingan kelayakan kedua, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Perak. - Foto Effendy Rashid

Hafizul Hakim wira Perak singkir Kitchee

 

IPOH: Juara Piala Malaysia 2018, Perak berjaya membuktikan kewibawaan mereka apabila berjaya melangkah ke pusingan ketiga Liga Juara-Juara Asia (ACL) menewaskan wakil Hong Kong, Kitchee SC dalam perlawanan yang diheret sehingga ke penentuan penalti selepas kedua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan penuh dramatik yang berlangsung di Stadium Perak sebentar tadi.

Penjaga gol Perak Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy muncul wira apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti pasukan pelawat sekali gus membolehkan Perak memenangi penentuan penalti 6-5.


Pemain Perak meraikan kemenangan selepas menewaskan Kitchee SC dengan sepakan penalti 6-5 selepas seri 1-1 pada pusingan kelayakan kedua, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Perak. - Foto Effendy Rashid

Pemain Perak meraikan kemenangan selepas menewaskan Kitchee SC dengan sepakan penalti 6-5 selepas seri 1-1 pada pusingan kelayakan kedua, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Perak. - Foto Effendy Rashid

Skuad bimbingan Mehmet Durakovic membuka jaringan pada minit ke-13 apabila hantaran lintang Mohd Nor Hakim Hassan ditanduk Gilmar Jose Da Silva Filho sebelum Wander Luiz Bitencourt Junior yang tidak dikawal berjaya menolak bola ke gawang lawan.

Di babak kedua, anak buah Alex Chu Chi Kwong cuba memperkemaskan permainan namun tersentak apabila pemain pertahanan mereka, Matthew Smith dilayangkan kad merah pada minit ke-49 selepas menerima dua kad kuning.


Pemain Perak Gilmar Gilmar Da Silva Filho (kanan) diasak pemain Kitchee FC,Matthew Smith pada pusingan kelayakan kedua, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Perak. - Foto Effendy Rashid

Walaupun beraksi dengan 10 pemain, Kitchee SC bangkit mengasak gawang Perak, namun Hafizul bertindak cemerlang menafikan setiap percubaan.

Bagaimanapun pemain gantian Kitchee SC, Li Ngai Hoi membuat kejutan dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-86 sekali gus mengheret permainan ke masa tambahan yang menyaksikan tiada jaringan dihasilkan.

Hafizul akhirnya memastikan Perak layak ke pusingan ketiga ACL dan akan bertandang ke Korea Selatan bertemu Ulsan Hyundai 19 Februari ini.

 

3177 dibaca
Berita Harian X