Selasa, 12 Februari 2019 | 10:44pm
GAMBAR fail, aksi pemain Dortmund, Jadon Sancho ketika pasukannya menentang Hoffenheim pada Bundesliga, Sabtu lalu. - Foto EPA

Pemain Dortmund lupa pasport

DORTMUND: Jadon Sancho menyebabkan penerbangan skuad Borussia Dortmund ke London untuk pertembungan Liga Juara-Juara dengan Tottenham tergendala selepas dia terlupa membawa pasport.

Pemain sayap England itu, yang beraksi cemerlang untuk pendahulu Bundesliga itu musim ini, sampai lewat ke lapangan terbang Dortmund Selasa lalu selepas terpaksa pulang ke rumah untuk mengambil dokumen perjalanannya.

Selain Sancho, pemain pertahanan Abdou Diallo turut terlupa membawa dokumen perjalanannya.

Bagaimanapun bekas pemain muda Manchester City itu sempat menaiki penerbangan yang terpaksa menunggunya 20 minit lewat daripada jadual sebenar.

Sancho, 18, yang dilahirkan di selatan London dan meninggalkan City untuk menyertai Dortmund pada harga 8 juta pound (RM42 juta) ketika musim panas 2017, tidak sabar untuk kembali beraksi di Wembley.

“Saya akan bermain di hadapan keluarga saya, ia sesuatu yang saya ingin lakukan sejak kecil,” kata Sancho.

“Saya suka bermain di tempat kelahiran saya. Saya harap dapat tunjukkan kepada warga London apa kebolehan saya.”

Pengendali Dortmund Lucien Favre kehilangan empat tonggak untuk perlawanan 16 terakhir ini, dengan Marco Reus (paha) dan Paco Alcacer (bahu) turut cedera.

Julian Weigl (selesema) dan Lukasz Piszczek (kaki) turut digugurkan untuk aksi di Wembley, sekali gus meningkatkan harapan skuad kendalian Mauricio Pochettino untuk mengutip bekalan selesa. – AGENSI

1607 dibaca
Berita Harian X