Selasa, 12 Februari 2019 | 8:17am
MARCELO dan Bale. - Foto AFP

Marcelo bengang Bale tak tahu cakap Sepanyol

MADRID: Gareth Bale pindah dari Tottenham ke Real Madrid pada 2013, tetapi sejak itu dia masih tidak menguasai bahasa Sepanyol denan baik sekali gus menimbulkan kesulitan bersama rakan pasukan yang menggunakan bahasa berkenaan.

Menurut akhbar tempatan, rakan karibnya di Real Madrid, Marcelo mendakwa Bale hanya berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris sejak tiba di kelab itu enam tahun lalu.

Perkhabaran ini timbul selepas khabar angin mengenai Bale akan berpindah makin kencang walaupun penyerang Wales itu kerap kali mengakui dia gembira bersama Real meskipun ada kalangan penyokong yang mula menolaknya. 

Selepas ketiadaan Cristiano Ronaldo dan Kiko Casilla, Marcelo mengakui dia kini seolah-olah kesunyian.

“Sekarang ini tiada siapa di sebelah untuk bercakap, saya ada Bale di sebelah sana, tetapi Bale tidak bercakap, dia hanya bercakap bahasa Inggeris, kami hanya menggunakan bahasa tubuh dan cuma mengucapkan perkataan, hai, hello dan syabas.’’

Gareth Bale baru-baru ini menyumbat gol ke-100 buat Real Madrid, bagaimanapun, masa depannya bersama kelab itu masih tidak pasti angkara kelewatannya mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ronaldo selepas pemain bintang itu menyertai Juventus.  

Laporan akhbar tempatan terbaru mendakwa personaliti Bale itu kurang sesuai untuk diterima oleh pemain lain dalam kelab berkenaan.

Menurut laporan berkenaan, jika Bale terus gagal bertutur dengan rakan lain menggunakan bahasa Sepanyol, maka mereka akan terus sukar bergaul sesama rakan pasukan.

Bale kini ada persaingan selepas ketibaan pemain Brazil, Vinicius Junior, sekali gus khabar angin mengenai perpindahannya sekali lagi muncul seperti tahun sebelumnya.

Manchester United dilaporkan kelab utama yang dikaitkan dengan berita membawa pulang Bale ke pangkuan Liga Perdana Inggeris semula. – Agensi

 

1256 dibaca
Berita Harian X