Selasa, 12 Februari 2019 | 7:46am
AKSI Martin Dubravka ketika menentang pasukan Wolves dalam saingan liga, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Kesilapan Dubravka hukum Newcastle

WOLVERHAMTON: Penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka sekali lagi menjejaskan peluang pasukannya untuk menjarakkan diri daripada zon penyingkiran tatkala kesilapan lewatnya menghadiahkan Wolves keputusan seri 1-1 dalam saingan liga, awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Rafael Benitez hanya beberapa saat daripada mencipta kemenangan berharga di Molineux selepas jaringan sulung Isaac Hayden sejak 2017 membolehkan mereka mendahului aksi.

Jaringan Hayden terhasil menerusi usaha menyelamat yang lemah daripada penjaga gol Wolves, Rui Patricio.

Namun, kesilapan lewat permainan Dubravka yang mencuri tumpuan apabila penjaga gawang dari Slovakia itu membenarkan bola hantaran lintang menjangkaui tangannya sebelum ditanduk masuk Willy Boly pada waktu kecederaan.


MARTIN Dubravka. - Foto AFP

Dan pastinya Dubravka akan menjadi mangsa kecaman di Tyneside selepas melakukan satu lagi kesilapan, beberapa hari selepas sekadar melihat bola percubaan Son Heung-Min melepasi celahan kakinya untuk menghadiahkan Tottenham jaringan kemenangan.

Pemilik Newcastle, Mike Ashley menonton daripada kawasan tempat duduk penyokong, ia sukar diterima Benitez, yang menolak untuk melindungi Dubravka.

"Kami boleh melakukan dengan lebih baik. Sepatutnya situasi bola seperti ini boleh diselamatkan, tumbuk bola itu dan ia selesai," katanya.

Ditanya sama ada Boly ada menolak penjaga golnya, Benitez menambah: "Ia tidak jelas apabila melihat ulang tayang. Apapun kami perlu bertahan dengan lebih baik. Dia (Dubravka) perlu lebih kuat."

Newcastle kini hanya dibezakan satu mata dengan zon penyingkiran manakala Wolves kekal di tangga ketujuh dengan 39 mata. - AFP

1400 dibaca
Berita Harian X