Selasa, 12 Februari 2019 | 1:10am
GAMBAR fail, pertahanan veteran Manchester United, Ashley Young pada tahun lalu. - Foto Reuters

'Rasa seperti dilatih Ferguson'

LONDON: Pertahanan veteran Manchester United, Ashley Young kagum dengan cara kerja Ole Gunnar Solskjaer di Old Trafford yang disifatkan memiliki persamaan dengan pengurus legenda, Sir Alex Ferguson.

Solskjaer tiba sejurus pemecatan Jose Mourinho, Disember lalu dan pengurus sementara itu masih belum mengharungi kekalahan selepas 11 perlawanan diharungi United dalam semua kejohanan.

Kemenangan 3-0 ke atas Fulham, minggu lalu melonjakkan United ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris selain meningkatkan rasa optimis di kelab berkenaan selepas mengharungi kempen kurang memberangsangkan selama beberapa tahun.

“Ketika Ole Gunnar datang, entah bagaimana, saya merasakan seperti Sir Alex sudah kembali,” kata Young, 33, yang menandatangani kontrak baharu selama setahun bersama kelab itu, hari ini.

“Bukan saja kerana dia dibantu oleh Mike Phelan (bekas pembantu Ferguson) dan Michael Carrick, tetapi ia juga disebabkan Ole Gunnar benar-benar tahu apa maknanya bermain untuk kelab ini, dia obses dengan kemenangan dan hasilnya pemain-pemain rasa terdorong di atas padang, seperti Sir Alex.”

Solskjaer dipuji sebagai watak penting mengembalikan prestasi United selepas mengharungi kempen yang membimbangkan di awal musim.

Dengan membawa kembali Phelan - yang disingkirkan ketika David Moyes tiba - ke kelab berkenaan, ia tampak seperti resipi kejayaan berdasarkan pengalaman luasnya bersama Ferguson.

Fokus dengan corak permainan menyerang, Solskjaer ketika ini menjadi calon pilihan untuk menjawat jawatan berkenaan secara tetap jika skuad kendaliannya berjaya mengatasi juara Perancis, Paris Saint-Germain dalam kempen Liga Juara-Juara. - Agensi

2686 dibaca
Berita Harian X