Isnin, 11 Februari 2019 | 11:51pm
Penyerang Tottenham Hotspurs, Son Heung-Min meraikan jaringan golnya ketika menentang Leicester City, semalam. - Foto AFP

Spurs berisiko hilang Son

LONDON: Son Heung-Min menarik minat kelab-kelab gergasi Eropah pada jendela perpindahan seterusnya selepas penyerang Tottenham itu tampil dengan prestasi mengagumkan dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim ini.

Pandangan itu disuarakan bekas penyerang Spurs, Darren Bent selepas penyerang Korea Selatan itu cemerlang menyumbat 11 gol dan lima umpanan dalam 20 perlawanan untuk kelab itu musim ini.

Kecemerlangannya bukan saja membantu skuad kendalian Mauricio Pochettino menghuni tangga ketiga liga, malah menjadikan pasukan itu sebagai antara pencabar kejuaraan musim ini.

Kelab berpangkalan di London itu masih berpeluang untuk menjulang trofi yang kali terakhir dimenangi pada 1961 itu pada Mei selepas hanya ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Kemenangan 3-1 ke atas Leicester City di Wembley, semalam memastikan jurang Tottenham dengan pencabarnya tidak begitu jauh dengan Son tampil dengan aksi cemerlang apabila meledak gol ketiga perlawanan.

Begitupun Bent yang bermain untuk Spurs pada musim 2007 hingga 2009 bimbang kehebatan Son itu membuatkannya menjadi sasaran ketika jendela perpindahan dibuka.

“Son pemain yang menakjubkan,” kata Bent. “Semua perkara mengenainya, cara dia mengharungi perlawanan, dia menjadi ancaman dan dia mempunyai penyudah di kedua-dua belah kakinya.

“Satu-satunya kebimbangan saya untuk Spurs bagi tahun-tahun berikutnya adalah kehilangan pemain seperti ini. Orang akan mula mencari Son dan berfikir ‘dia jauh lebih baik berbanding yang kami fikir’, dan dia kemudian mendapat begitu banyak tawaran hanya disebabkan jumlah jaringan dan kreativitinya.”

Lawan Tottenham yang kehilangan dua tonggak, Dele Alli dan Harry Kane pada aksi berikutnya adalah kelab Jerman, Borussia Dortmund dalam kempen Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini. - Agensi

2724 dibaca
Berita Harian X