Isnin, 11 Februari 2019 | 10:25pm
GAMBAR fail, Ahmad Khuzaimie Piee. - Foto Osman Adnan

Ahmad akui pengsan kali pertama di padang

MELAKA: “Inilah kali pertama saya pengsan akibat bermain bola," kata pemain pertahanan Melaka United (MU), Ahmad Khuzaimie Piee mengimbas kejadian yang menimpanya di Shah Alam hujung minggu lalu dalam saingan Liga Super.

Pemain berkenaan yang pengsan secara tiba-tiba terpaksa dikejarkan Hospital Shah Alam pada malam Sabtu lalu, selepas bola terkena bahagian rusuk ketika beraksi bersama pasukannya menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam.

Dia dilaporkan mengeluarkan muntah lendir ketika dibawa keluar dari padang manakala pandangannya kabur serta gelap dalam sekelip mata.

“Saya hanya mula sedar dalam perjalanan untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya yang merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu.

Ahmad Khuzaimie turut melahirkan rasa lega apabila tiada kecederaan yang serius selepas pemeriksaan lanjut dibuat termasuk ujian x-ray.

“Setakat ini rasa sakit itu masih ada di bahagian dada. Harap dapat pulih segera,” katanya yang hanya menjalani latihan ringan petang tadi.

1287 dibaca
Berita Harian X