Isnin, 11 Februari 2019 | 9:36pm
Perancang Liverpool, Georginio Wijnaldum meraikan jaringan golnya untuk gol kedua pasukannya ketika menentang Bournemouth, semalam. - Foto Reuters

'Peningkatan Reds ketara'

LONDON: Transformasi Liverpool untuk muncul pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini menggambarkan peningkatan yang dicapai kelab berkenaan, kata pemain tengah Georginio Wijnaldum.

Pemain Belanda itu yang meledak gol menarik ketika Liverpool menewaskan Bournemouth 3-0 sekali pun mengharungi sakit perut mengakui dua keputusan seri berturut-turut merencatkan pemburuan kelab itu bagi menamatkan penantian 29 tahun menjulang gelaran liga.

Begitupun, dia mengakui kemampuan mengumpul 65 mata selepas mengharungi 26 perlawanan melangkaui jangkaan mereka sebelum kempen bermula.

“Kami mencatat dua keputusan seri berturut-turut dan perasaannya tidak bagus,” kata pemain berusia 28 tahun itu. “Tetapi jika kami diberitahu di awal musim yang kamu akan mengumpul mata (65) seperti ini, semua orang akan menerimanya.

“Ia mampu menjadi lebih baik tetapi kami perlu menghargai apa yang kami sudah peroleh. Kamu boleh lihat peningkatan. Kamu boleh melihatnya di awal musim yang kami sudah bertambah baik. Kami hanya perlu meneruskannya.”

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp membawa skuad kendaliannya ke Marbella, Sepanyol bagi menjalani latihan dalam cuaca panas.

Dia berupaya melakukannya kerana Liverpool tidak terbabit dalam saingan Piala FA minggu ini dan akan kembali beraksi bagi aksi Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich di Anfield pada 20 Februari.

Wijnaldum yang dibeli Liverpool dengan nilai £22 juta pound (RM115.75 juta) dari Newcastle pada 2016 optimis kelab itu memiliki kemampuan untuk bersaing dalam kedua-dua kejohanan berkenaan.

“Kami perlu melihat bagaimana ia berjalan. Saya fikir kami mampu mengharungi kedua-duanya,” katanya. “Kamu tidak tahu tetapi kebanyakan masa ia berjalan dengan baik. Liga Juara-Juara musim lalu berjalan lancar dan kami kami melepaskan banyak mata dalam saingan liga.

“Tetapi saya tidak fikir ia adalah disebabkan Liga Juara-Juara.” - AFP

825 dibaca
Berita Harian X