Isnin, 11 Februari 2019 | 8:38pm
Penyerang Manchester United, Alexis Sanchez (kanan) bergurau bersama rakan sepasukan, Marcos Rojo pada sesi latihan di Manchester menjelang Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain. - Foto AFP

Sanchez idam trofi Liga Juara-Juara

LONDON: Alexis Sanchez mengidam kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama Manchester United dengan Paris Saint-Germain (PSG) menjadi musuh yang perlu ditewaskan di peringkat 16 terbaik.

Sanchez terlepas ‘kemanisan’ mengucup gelaran terulung Eropah itu di Barcelona pada 2011 kerana ia dirangkul sebelum ketibaannya dari Udinese dan sekali lagi terlepas pada 2015 susulan penghijrahannya ke Arsenal.

Justeru Sanchez yang bergelut dengan prestasi sejak perpindahannya dari Arsenal ke United pada Januari tahun lalu bertekad untuk memenuhi impiannya di Old Trafford.

“Liga Juara-Juara adalah impian semua pemain bola sepak,” kata Sanchez. “Saya mengimpikannya di Barcelona dan melihat bagaimana ia berlaku. Saya berharap saya boleh memenanginya satu hari nanti dan mengapa tidak di sini.

“Kami sudah melepasi peringkat kumpulan dan berikutnya adalah PSG. Ia adalah ujian yang besar tetapi ia adalah 180 minit dalam bola sepak, apa saja boleh berlaku.

“United adalah kelab yang memiliki banyak sejarah dan berupaya untuk menewaskan sebarang pencabar. Jika kami menang di Old Trafford dan tidak dibolosi, jadi saya fikir kami akan menjadi pilihan bagi aksi kedua.

“Saya fikir kami boleh melakukannya dan saya lihat pasukan ini mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol di Paris.”

United mengharungi 11 perlawanan tanpa kalah sejak dikendalikan pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer yang menggantikan Jose Mourinho pada Disember tahun lalu dengan PSG kehilangan khidmat dua tonggaknya Neymar dan Edinson Cavani susulan kecederaan. - Agensi

536 dibaca
Berita Harian X