Isnin, 11 Februari 2019 | 2:02pm
Di Maria kembali ke Old Trafford sebagai pemain PSG, awal pagi Rabu ini. - Foto EPA

Di Maria tekad gegar United

PARIS: Hanya bertahan semusim di Manchester United, Angel di Maria mungkin ingin membuktikan sesuatu apabila dia kembali ke Old Trafford sebagai pemain Paris Saint-Germain, awal pagi Rabu ini.

Dia yang menginjak usia 31 tahun minggu depan, mempunyai peranan besar perlu dimainkan dalam aksi genting pertama 16 terakhir Liga Juara-Juara bertemu United selepas kecederaan melanda Neymar dan Edinson Cavani.

Ketiadaan kedua-dua pemain itu juga perlu dimanfaatkan Di Maria untuk membuktikan mengapa PSG sanggup berbelanja besar pada musim panas 2015, hanya dua tahun sebelum Neymar dan Kylian Mbappe tiba di ibu kota Paris.

"Saya hanya kekal setahun di sana. Ia bukannya tempoh yang terbaik dalam karier saya," kata Di Maria dalam sesi temubual bersama stesen radio France Bleu.

"Terdapat masalah antara saya dengan jurulatih ketika itu (Louis van Gaal). Namun terima kasih kepada tuhan saya diberi peluang oleh PSG dan menemui semula diri saya yang sebenar."

United menanggung kerugian apabila mereka menjual Di Maria pada harga 63 juta Euro,  ketika PSG memperoleh manfaat daripada pembelian berkenaan dengan dia baharu saja menyambung kontrak hingga 2021.

Dia juga sudah menyumbat dan mencipta gerakan lebih 70 gol dalam Ligue 1, biarpun sebenarnya dia dibeli bagi memperkasakan pasukan bagi menghadapi Liga Juara-Juara dengan PSG kecundang dalam pusingan 16 terakhir dalam dua musim terakhir. – AFP

941 dibaca
Berita Harian X