Isnin, 11 Februari 2019 | 8:48am
PEMAIN Barcelona, Sergi Roberto pada aksi menentang Athletic Bilbao. - Foto AFP

Barcelona, Bilbao terikat tanpa jaringan

BILBAO: Faktor Lionel Messi kurang cergas dan aksi tidak bermaya pemain menyebabkan Barcelona sekadar terikat tanpa jaringan di Athletic Bilbao, pagi tadi sekali gus membuka kembali perebutan gelaran La Liga.

Kecederaan paha membataskan Messi untuk hanya beraksi 27 minit menentang Real Madrid, Rabu lalu dan walaupun bermain penuh di San Mames tadi, penolong jurulatih Barca, Jon Aspiazu sebelum sepak mula perlawanan mengakui bintangnya itu bukannya berada dalam keadaan terbaik.

Dia tetap beraksi kerana pasukan begitu memerlukannya, namun Messi gagal beraksi baik dan pasukannya pun sama, malah mereka mungkin tewas jika tidak kerana kecekapan penjaga gol Marc Andre ter Stegen menyelamatkan percubaan lewat berbahaya Inaki Williams.

"Dia menyelamatkan kami," kata pengendali Barcelona, Ernesto Valverde.

"Ia usaha menyelamat yang hebat.

"Biarpun tanpa kemenangan dalam tiga aksi terakhir, peneraju La Liga itu kekal selesa enam mata di persada liga dengan Real Madrid yang menewaskan Atletico Madrid semalam muncul pencabar terdekat.

"Kami nombor satu minggu lalu dan ia masih kekal, dan jika perkiraan saya betul, kami akan terus mengekalkannya minggu depan," kata Valverde.

Namun kemenangan Real di Wanda Metropolitano adalah yang kelima berturut-turut dan mereka tampak menemui semula momentum, berbeza dengan Barca pula kehilangan sentuhan di kala ujian lebih getir menanti mereka selepas ini.

Selepas Real Valladolid minggu ini, skuad kendalian Valverde akan berkunjung ke Lyon bagi menghadapi aksi Liga Juara-Juara sebelum bertemu Sevilla (La Liga).

Kemudiannya mereka akan berdepan pertarungan El Clasico dalam tempoh empat hari masing-masing di Santiago Bernabeu, satu daripadanya adalah pertemuan Copa del Rey.

"Kami sedang mengharungi perlawanan yang banyak ketika ini," kata penyerang Luis Suarez.

"Kami amat lemah dari aspek komunikasi hari ini - ia membawa perbezaan ketara.

"Valverde juga harus bertanggungjawab di atas keputusan ini apabila memilih menurunkan Messi yang kurang cergas, manakala Ousmane Dembele yang cukup cergas disimpan di bangku simpanan. - AFP

Berita Harian X