Ahad, 10 Februari 2019 | 8:03pm
Anthony Martial (jersi merah) digambarkan sebagai ‘pemain yang boleh mengubah pasukan meraih kemenangan’. - Foto AFP

'Bagi bola kepada Martial, selesai'

LONDON: Juan Mata menghambur pujian terhadap peledak Manchester United, Anthony Martial dengan menggambarkannya sebagai ‘pemain yang boleh mengubah pasukan meraih kemenangan’.

Pemain sayap itu tampil dengan prestasi mengagumkan ketika United menewaskan Fulham 3-0 di Craven Cottage, semalam apabila turut meledak gol dan mencipta umpanan.

United mempamerkan prestasi cemerlang di bawah kendalian pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer dengan pemain tengah, Paul Pogba turut meledak gol dan dinamakan pemain terbaik perlawanan.

Begitupun bagi pemain tengah Sepanyol, Martial turut layak untuk diberikan  pujian yang istimewa berikutan sumbangannya.

“Jika kita bercakap mengenai Paul dan Anthony, pemain yang menakjubkan, gol yang hebat, gol yang hebat daripada Anthony... hanya beberapa pemain boleh melakukannya,” kata Mata.

“Saya menggemari Anthony. Lebih baik dia bermain, lebih banyak peluang kami untuk menang. Saya sentiasa berkata perkara yang sama, tetapi ia benar. Berikan bola kepada Anthony dan kita akan menang!”

Ketika di bawah kendalian Jose Mourinho, United menghuni tangga keenam liga dengan hanya mengumpul 26 mata tetapi sejak ketibaan Solskjaer, mereka kini menghuni carta keempat.

Prestasi cemerlang di bawah pengendali dari Norway itu menyaksikan United mengharungi 11 perlawanan tanpa kalah dengan 10 daripadanya adalah kemenangan menyaksikan itu kini berubah luar dan dalam.

“Kamu sentiasa percaya yang kamu boleh melakukannya apabila kamu bermain untuk kelab seperti Manchester United,” kata Mata. “Tiada yang nampak mustahil. Ia nampak seperti amat jauh, kedudukan keempat, ketiga tetapi kami berada di sana ketika ini.” - Agensi

882 dibaca
Berita Harian X