Ahad, 10 Februari 2019 | 12:49pm
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp. - Foto AFP

Ini reaksi sepatutnya - Klopp

LIVERPOOL: Pengendali Liverpool Jurgen Klopp memuji kecekalan anak buahnya ketika bangkit daripada beberapa keputusan kurang memuaskan dengan menewaskan Bournemouth 3-0 di Anfield dan kembali mendahului Liga Perdana Inggeris.

Gini Wijnaldum melupakan masalah kesihatannya dan pemain terbaik tahun lalu Mohamed Salah mengekalkan ketajamannya di hadapan gawang ketika membantu Liverpool bangkit daripada dua keputusan seri menentang Leicester dan West Ham.

“Itu reaksi yang kami mahu tunjukkan,” kata Klopp. “Kami sentiasa menilai prestasi sendiri dan jelas kami tidak gembira dengan dua persembahan sebelum ini.

“Kami menelitinya dan mahu bermain dengan lebih meyakinkan dan beraksi lebih baik menentang Bournemouth. Itu yang kami lakukan – ia amat membanggakan dan petanda yang baik buat kami.”

Bagaimanapun pengendali Bournemouth Eddie Howe merasakan Liverpool turut disokong tuah bakal juara apabila diberitahu oleh kakitangan kejurulatihannya yang gol pembukaan hasil tandukan Sadio Mane pada minit ke-24 sepatutnya dibatalkan pengadil.

“Ia saat yang penting. Kami bersedia untuk mengecewakan mereka dan berjaya menutup ruang sehingga gol pertama. Ia sepatutnya ofsaid, ia mengubah permainan.

“VAR (Penolong Pengadil Video) dapat membantu dalam situasi berkenaan dan saya rasa ia menguntungkan semua pihak. Gol begitu jelas ofsaid dan kita akan mendapat keputusan yang tepat.”

Wijnaldum yang mengalami cirit-birit sehari sebelum perlawanan, menambah gol kedua pada minit ke-34 sebelum Salah melengkapkan kemenangan dengan gol ke-49 dirinya dalam saingan Liga Perdana selepas 62 perlawanan – dan tidak pernah mengharungi tiga perlawanan liga tanpa sebarang gol untuk Liverpool.

“Mentaliti pemain-pemain ini adalah faktor yang membawa kami di sini sekarang. Rekod jaringan Mo (Salah) sangat baik tetapi persembahannya juga menakjubkan,” kata Klopp.

“Ini kualiti bola sepak yang ada padanya. Dia terbabit dalam semua pergerakan, kadang-kadang turun membantu pertahanan dan begitulah cara yang dia perlu lakukan.

“Jika boleh saya mahu bersalam dengan semua 50,000 penyokong tetapi mereka tidak akan buka stadium begitu lama. Saya bangga dengan penyokong-penyokong.” – AGENSI

Berita Harian X