Ahad, 10 Februari 2019 | 12:24am
PEMAIN Manchester United, Paul Pogba. - Foto Reuters

Ini baru permulaan: Pogba

LONDON: Paul Pogba berkata cabaran lebih getir menanti Manchester United selepas bintang Perancis itu meledak dua gol membantu pasukannya menewaskan kelab bergelut Fulham 3-0, malam tadi.

Pemain tengah itu meledak gol pembukaan United seawal minit ke-14 sebelum rakan senegaranya, Anthony Martial menjadikan kedudukan 2-0 sebelum rehat dan melengkapkan kemenangan bergaya menerusi penalti di Craven Cottage.

Kemenangan meneruskan rentak kebangkitan United di bawah kendalian pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer dan merampas tangga keempat Liga Perdana Inggeris daripada Chelsea yang dijadual bertemu Manchester City, esok.

Sebagai perbezaan, United ketinggalan 11 mata daripada pasukan tangga keempat sebelum Jose Mourinho dipecat pada Disember lalu.

“Perasaannya hebat, itulah yang kami mahukan sejak Ole tiba,” kata Pogba yang sebelum ini memiliki hubungan dingin dengan Mourinho. “Kami bercakap mengenainya tetapi perjalanan masih jauh dan kami mahu berada di sana.”

United sudah menang 10 daripada 11 perlawanan sejak bekas penyerang United, Solskjaer kembali ke Old Trafford. 

“Kami ketinggalan terlalu jauh dan kini kami kembali ke tangga empat teratas tetapi perjalanan masih panjang dengan perlawanan besar menanti kami. 

“Justeru ia tidak akan menjadi tugas yang mudah. Perlawanan besar menanti kami selepas ini yang menentukan di mana kami menamatkan perlawanan musim ini,” kata Pogba dengan juara Perancis, Paris Saint-Germain menanti pasukannya bagi aksi pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara, Rabu ini.

Mengulas dua jaringannya menentang Fulham, Pogba berkata: “Sentiasa hebat menjaringkan gol, paling penting adalah menang perlawanan. Apabila kamu menjaringkan tetapi tidak menang, perasaannya berbeza.”

“Saya hanya fokus untuk meletakkan bola di dalam gawang. Perlawanan ini amat penting, seperti kamu dapat lihat kami berada di tangga keempat, sekali pun Chelsea belum bermain. Ia petanda yang baik dan kami perlu meneruskannya untuk kekal di sini.” - AFP

 

 

1054 dibaca
Berita Harian X