Sabtu, 9 Februari 2019 | 11:14pm
PEMAIN PKNS FC Gabriel Miguel Guera (kiri) diasak pemain Melaka United, Jang Sukwon (dua dari kiri) di Stadium Shah Alam. - Foto BERNAMA

Giliran PKNS FC jadi 'mangsa' Melaka United

SHAH ALAM: Jaringan tunggal Safiq Rahim memadai untuk Melaka United meraih mata penuh pada aksi kedua Liga Super selepas menewaskan PKNS FC 1-0 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Selepas cemerlang menamatkan musim di tangga ketiga pada edisi 2018, tuan rumah seakan masih tercari-cari 'resipi' terbaik untuk meraih mata penuh sulung pada musim ini.

Sebaliknya keputusan itu memastikan rekod bersih Melaka United yang dilabel pencabar kejuaraan musim ini selepas turut meraih tiga mata pada aksi pertama dengan menundukkan Petaling Jaya City 2-1, minggu lalu.

Terdahulu, aksi perlahan dipamerkan kedua-dua pasukan yang menyaksikan penjaga gol PKNS FC dan Melaka United lebih banyak ‘berehat’.

Bagaimanapun pada minit ke-24, pelawat akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Safiq Rahim selepas Patrick Reichelt dikasari pertahanan tuan rumah, Rodney Celvin Akwensivie.

Bersambung babak kedua, PKNS tampil lebih agresif sebaliknya dilihat kurang idea untuk menggerakkan serangan lebih merbahaya.

Gandingan Safiq dan Liridon Krasniqi di jentera tengah pelawat jelas memaksa pertahanan bekerja keras ketika gerakan diatur gandingan itu sering cetus bahaya.

Minit ke-84, usaha Akram Mahinan untuk keluarkan bola dari kawasan bahaya tidak berjaya sebaliknya bola melantun ke arah gawang sendiri namun penjaga gol PKNS FC, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin bertindak pantas untuk menepis bola keluar untuk kedudukan kekal 1-0 sehingga wisel penamat ditiupkan. 

 

 

Berita Harian X