Sabtu, 9 Februari 2019 | 10:51pm
PEMAIN Manchester United, Paul Pogba (tengah) meraikan jaringan bersama rkakan sepasukan ketika menewaskan Fulham di Stadium Craven Cottage. - Foto Reuters

United rampas tangga keempat liga

MANCHESTER: Paul Pogba meledak dua gol untuk membantu Manchester United mendaki tangga keempat Liga Perdana Inggeris selepas gah membenam Fulham 3-0 di Craven Cottage, sebentar tadi.

Kemenangan selesa itu meneruskan rentak cemerlang tanpa kalah United di bawah kendalian pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer kepada sembilan aksi Liga Perdana berturut-turut berbaki 12 perlawanan.

Ini kali pertama United menghuni kedudukan empat terbaik yang juga tiket ke saingan Liga Juara-Juara sejak permulaan musim tetapi Chelsea boleh merampas kembali kedudukan berkenaan jika menewaskan Manchester City, esok.

Dijadual bertemu juara Perancis, Paris Saint Germain bagi aksi pertama peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara di Old Trafford, Rabu ini, Solskjaer membuat enam pertukaran dengan merehatkan Marcus Rashford, Jesse Lingard dan Victor Lindelof.

Begitupun, ia tidak merencatkan rentak United yang meledak gol pembukaan seawal minit ke-14 menerusi Pogba selepas memperoleh hantaran baik Anthony Martial.

Ia adalah gol ketujuh Pogba di bawah kendalian Solskjaer sekali gus menjadi bukti kebangkitan pemain Perancis itu di bawah kendalian pengurus dari Norway itu.

Dan Pogba membuktikan ‘magisnya’ apabila mencipta gerakan untuk jaringan kedua United yang diledakkan rakan senegaranya Martial pada minit ke-23.

Terdesak selepas ketinggalan dua gol, Fulham kendalian Claudio Ranieri memberi tumpuan kepada serangan pada babak kedua tetapi ia memakan diri apabila United menambah gol ketiga pada minit ke-65.

Berpunca daripada hantaran Romelu Lukaku dan Juan Mata, pertahanan Fulham Maxime Le Marchand yang panik bertindak menjatuhkan pemain Sepanyol itu dengan penalti mudah disempurnakan Pogba. - AFP

1390 dibaca
Berita Harian X