Sabtu, 9 Februari 2019 | 8:10pm
PENGURUS Tottenham, Mauricio Pochettino (tengah) nafi rancang pertemuan dengan dua bekas bintang Real Madrid, Zidane dan Beckham. - Foto Agensi

Tak sengaja jumpa Beckham, Zidane: Pochettino

LONDON: Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino menjelaskan pertemuannya dengan dua bekas bintang Real Madrid, Zinedine Zidane dan David Beckham sebagai tidak dirancang.

Gambar pengendali dari Argentina itu menikmati makan malam di restoran yang sama, di sini bersama Zidane dan Beckham, tersebar pada minggu ini dengan kedua-dua legenda itu beraksi di Sepanyol pada musim 2003 hingga 2006.

Pochettino dilaporkan menjadi sasaran utama Real sejak peletakan jawatan mengejut Zidane sebagai ketua jurulatih pada musim lalu dan bekas pemain Perancis itu kekal ‘menganggur’ di sebalik minat yang ditunjukkan oleh Manchester United.

“Saya bersama dengan Jesus (pembantu jurulatih Spurs) dan seorang lagi rakan. Kami bertiga,” kata Pochettino mengesahkan pertemuan berkenaan tetapi menafikan ia sudah diatur.

“Kami berjumpa secara tidak sengaja dan semuanya sudah menjadi sejarah. Kami hanya berkata ‘hello’ kerana kami bertemu secara tiba-tiba, tetapi kemudian timbul berita dan bagaimana kamu mahu menghentikannya?

“Jesus yang memberitahu saya untuk lihat di bahagian sudut dan saya menoleh dan melihat mereka (Beckham dan Zidane). Kami juga hampir selesai pada masa yang sama ketika itu.

“Dia datang kepada saya dan berkata ‘hello’ dan kami menghabiskan masa selama dua minit dan kemudian berpisah,” kata Pochettino yang skuad kendaliannya kini hanya dibezakan lima mata dengan pasukan di puncak Liga Perdana Inggeris berbaki 13 perlawanan.

Lawan Spurs berikutnya adalah Leicester City, esok sebelum mengalih fokus bagi kempen Liga Juara-Juara menentang kelab Jerman, Borussia Dortmund di Wembley, minggu depan. - Agensi

Berita Harian X