Jumaat, 8 Februari 2019 | 11:19pm
PEMAIN Terengganu FC II, Akanni Sunday (dua kiri) diasak pemain Selangor United, Mohd Rizal Rossid (kiri) pada aksi perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - Foto Ghazali Kori

Selangor United terus malang

KUALA TERENGGANU: Jaringan penalti Akanni Sunday Wasiu membolehkan skuad Terengganu FC II (TFC II) meneruskan rentak kemenangan selepas menumpaskan pendatang baharu, Selangor United 1- 0  pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebentar tadi.

Aksi hambar yang dipamerkan kedua-dua pasukan ternyata membosankan kira-kira 700 penonton yang hadir.

Sepanjang babak pertama berlangsung hanya satu percubaan bahaya daripada skuad The Turtles melalui sepakan percuma pemain kelahiran Ivory coast, Dechi Marcel pada minit ke-20 yang terkena palang gol pelawat diikuti tiga lagi percubaan yang tidak membuahkan hasil menerusi tandukan Wasiu pada minit ke-29, sepakan percuma Marcel pada minit ke-43 dan 45 yang sekadar mencemaskan kubu pelawat.

Pelawat hanya melakukan satu percubaan menerusi sepakan percuma pemain kelahiran Argentina, Sergio Fabian Ezequiel pada minit ke-16 yang gagal menembusi gol tuan rumah dan selebihnya percubaan banyak tersasar.

Bersambung babak kedua skuad kendalian Tengku Hazman Raja Hassan dilihat lebih banyak mendominasi permainan dan nyaris mendahului perlawanan, tapi sepakan leret Wasiu pada minit ke-54 dalam kotak penalti sedikit keluar sebelah kanan pintu gol pelawat.

Usaha berterusan TFC II akhirnya membuahkan hasil apabila Wasiu meledak gol pada minit ke-65 menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan kapten, Rizzal Fahmi Ab Rosid untuk mendahului 1-0.

TFC II berpeluang menambah jaringan sekali lagi menerusi Wasiu pada minit terakhir perlawanan, namun berjaya dihalang penjaga gol Selangor United, Muhammad Nuraizat Abdul Aziz.

 

 

Berita Harian X