Jumaat, 8 Februari 2019 | 12:12pm
MARCUS Rashford. - Foto AFP

Lingard, Rashford bertaruh demi pasukan

LONDON: Jesse Lingard mengakui persaingan dalam padang dengan Marcus Rashford mampu memacu peluang Manchester United memburu kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika mereka bersedia menghadapi Fulham, esok.

Dengan gabungan sembilan gol dicetak mereka sejak Ole Gunnars Solskjaer tiba, jentera serangan United kini dilihat lebih mengancam beberapa minggu kebelakangan ini.

Rashford muncul penyumbang gol pertama di bawah rejim Solskjaer ketika bertemu Cardiff, manakala Lingard meledak dua gol untuk melengkapkan kemenangan 5-1 itu.

Malah, gol kemenangan ketika mengatasi Leicester City 1-0 minggu lalu turut dijaringkan Rashford yang kini menghimpun enam gol sepanjang lapan perlawanan di bawah Solskjaer.

Dan Lingard percaya persaingan sihatnya dengan Rashford melalui ‘pertaruhan’ banyak membantu mereka memperagakan persembahan terbaik.

"Marcus dan saya sudah menetapkan sasaran satu sama lain untuk mencabar diri kami," kata Lingard.


JESSE Lingard. - Foto AFP

"Jelas sekali masing-masing meletakkan sasaran berbeza, bergantung pada perlawanan dengan pemenang ditentukan berdasarkan berapa banyak percubaan ataupun banyak mana sentuhan bola dilakukan.

"Pertaruhan itu ditetapkan secara rambang, ia hanya untuk mencabar satu sama lain dalam memastikan rakan anda turut berjaya.

"Saya tidak akan mendedahkan berapa jumlah pertaruhan itu kerana nanti semua orang akan tahu."

United tidak pernah tewas sepanjang 10 perlawanan sejak pengendali dari Norway itu tiba menggantikan Jose Mourinho pada Disember lalu sekali gus melonjak mereka ke kedudukan kelima EPL setakat ini. – AFP

Berita Harian X