Selasa, 5 Februari 2019 | 8:52pm
PEMAIN Liverpool, Mohamed Salah. Foto Reuters

Liverpool berisiko 'hilang' Salah

LONDON: Liverpool berisiko kehilangan penyerang bintangnya, Mohamed Salah jika gagal menjulang trofi Liga Perdana Inggeris. 

Pandangan itu disuarakan bekas pemain Emile Heskey dengan The Reds ketika ini menghuni tangga teratas liga bagi kempen 2018-19 tetapi menggugurkan empat mata selepas seri dua perlawanan terakhir.

Keputusan itu, termasuk seri 1-1 dengan West Ham, semalam membenarkan pencabar utama yang juga penyandang juara, Manchester City merapatkan kedudukan dan kini hanya dibezakan dengan tiga mata.

Malah skuad kendalian Jurgen Klopp berkemungkinan terpaksa mengisi tangga kedua liga sebelum mengharungi perlawanan menentang Bournemouth apabila City dijadual bertemu Everton lebih awal berikutan perbezaan gol.

Sekali pun Salah dan beberapa lagi bintang tidak menunjukkan tanda mahu berpindah disebalik khabar angin mereka diminati kelab seperti Real Madrid, tetapi Heskey memberi amaran kegagalan kelab itu menjulang kejuaraan boleh mengubah fikiran pemain berkenaan.

“Risikonya (hilang pemain) sentiasa ada. Tetapi trofi utama dan sokongan berterusan penyokong setia sepatutnya cukup untuk menghalang aset utama daripada dipancing kelab lain,” kata Heskey.

“Saya tidak berkata mereka (Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane) tidak akan pergi, tetapi perlu ada alasan yang kukuh untuk mereka kekal.”

Klopp sebelum ini menafikan skuad kendaliannya sudah mula merasa tekanan tetapi mereka sudah dua kali melakar keputusan seri menentang Leicester selain West Ham. - Agensi

 

 

3768 dibaca
Berita Harian X