Selasa, 5 Februari 2019 | 3:17pm
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie. - Foto Asyraf Hamzah

Presiden PFA berjanji lagi

KUALA LUMPUR: "Kalau bayi apa yang dia boleh buat dalam tiga bulan?”

Itu reaksi Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie ketika ditanya mengenai kemelut berterusan yang dihadapi badan induk itu membabitkan isu tunggakan gaji.

Sambil mengesahkan masih belum membayar gaji pemain musim ini, Ahmad Amizal berjanji segala isu yang sedang dihadapi akan diselesaikan dalam tempoh yang terdekat.

"Orang boleh bercakap di luar tetapi apa yang berlaku di dalam, saya rasa pasukan berada dalam harmoni, tidak seperti yang digambarkan dalam media sosial dan sebagainya. Saya minta kerjasama dengan semua penyokong untuk beri ruang dan masa kepada pasukan kerana kita baharu saja bermula.

"Banyak impak negatif kami dapat yang boleh menyukarkan perancangan asal dan boleh mempengaruhi persiapan pasukan. Apapun kita akan berusaha dan saya selaku presiden akan selesaikan isu ini dalam masa terdekat.

"Kami masih baharu. Kalau hari ini saya ambil alih dan tiga tahun (lagi) perkara ini masih berlaku, saya akan bertanggungjawab sepenuhnya. Tetapi saya baru tiga bulan. Kalau bayi apa yang dia boleh buat dalam tiga bulan?," katanya ketika ditemui di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam kelmarin.

Sebelum ini, PFA menerima tamparan hebat apabila bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali membuat aduan kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) ekoran belum menerima gaji pertamanya.

Ekoran isu tunggakan itu, timbul dakwaan yang mengatakan pemain mereka mahu meninggalkan pasukan itu namun PFA meminta pemain terus bersabar kerana berjanji isu itu akan diselesaikan secepat mungkin.

Mengulas mengenai ketiadaan beberapa pemain ternama seperti Mohd Badhri Radzi dan Khyril Muhymeen Zambri dalam senarai pasukan ketika aksi menentang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC  dan dakwaan mengatakan mereka mahu meninggalkan pasukan jika isu tunggakan gaji berterusan, Ahmad Amizal berkata semua itu lebih kepada salah faham.

"Kadang-kadang kenyataan diberi pemain OK tetapi cerita asal dan cerita selepas itu sudah jadi benda yang susah. Badhri balik ke Kelantan kerana ada masalah kesihatan dan Insya-Allah dia akan bersama kita.

"Dalam pasukan ada 30 pemain tetapi jurulatih hanya akan pilih 18 terbaik untuk disenaraikan (dalam setiap perlawanan). Mungkin jurulatih ada strategi dan kita serah kepadanya untuk buat pilihan," katanya.

1349 dibaca
Berita Harian X