Isnin, 4 Februari 2019 | 5:01pm
PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp. - Foto Reuters

Kurang komitmen beri Liverpool kelebihan

LONDON: Penyingkiran Liverpool daripada saingan piala domestik musim ini memberi mereka kelebihan berbanding penyandang juara, Manchester City dalam pemburuan trofi Liga Perdana Inggeris, kata pengurus West Ham, Manuel Pellegrini.

Liverpool yang menghuni carta teratas liga mengumpul 61 mata daripada 24 perlawanan boleh mengembalikan kelebihan lima mata di depan City jika meraih kemenangan ke atas West Ham, awal pagi ini.

City merapatkan kembali jurang kepada dua mata selepas menewaskan Arsenal 3-1, awal pagi tadi tetapi Pellegrini percaya kelab Merseyside itu berada di barisan hadapan untuk menjulang gelaran pertama liga yang kali terakhir dijulang pada 1990.

Skuad kendalian Juergen Klopp kini hanya bersaing dalam kancah Liga Perdana dan Liga Juara-Juara selepas tersingkir dalam saingan Piala Liga dan Piala FA, sesuatu yang City tidak nikmati ketika ini.

“Lebih mudah bagi pasukan yang terbabit dalam dua kejohanan, berbanding dengan pasukan yang terbabit dengan empat,” kata pengendali kelahiran Chile itu.

“City perlu bermain di final Piala Liga yang akan menangguhkan perlawanan. Jika mereka berada di separuh akhir Piala FA, mereka perlu menangguhkan satu lagi perlawanan.

“Mereka mempunyai perlawanan Liga Juara-Juara di pertengahan minggu, jadi tidak mudah untuk bersaing dalam semua kejohanan ini.” - Reuters

632 dibaca
Berita Harian X