Isnin, 4 Februari 2019 | 12:42am
Pemain Manchester United, Marcus Rashford (jersi merah) diasak pemain Leicester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium King Power, England. - Foto Reuters

Man Utd hampiri kelompok empat teratas

LONDON: Penyerang Manchester United, Marcus Rashford menjaringkan gol pada penampilan Liga Perdana Inggeris ke-100 dirinya untuk kemenangan 1-0 ke atas Leicester City yang meneruskan permulaan cemerlang pengendali sementara Ole Gunnar Solskjaer bersama kelab itu.

Selepas terlepas peluang keemasan sebelum itu, Rashford menebus kesilapannya pada minit kelapan dengan memanfaatkan lambungan Paul Pogba yang melepasi benteng Leicester untuk menewaskan Kasper Schmeichel di pintu gawang.

Pemain Leicester City, Jamie Vardy (kiri) bersaing dengan pemain Manchester United, Paul Pogba dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium King Power. - Foto EPA

Pemain Leicester City, Rachid Ghezzal (dua dari kiri) diasak pemain Manchester United, Luke Shaw dalam aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium King Power. - Foto Reuters

Kemenangan itu melonjak United ke tangga kelima pada 48 mata, dua di belakang Chelsea di tangga keempat, manakala Leicester kekal di tangga ke-11 pada 32 mata.

Rashford, 21, adalah pemain paling muda mencapai angka 100 dalam perlawanan liga tertinggi Inggeris itu untuk United selepas Ryan Giggs pada Disember 1993.

Dia dan Pogba mempamerkan prestasi terbaik sejak bekas bintang kelab itu, Solskjaer mengambil alih pasukan daripada Jose Mourinho yang dipecat pada Disember dan mencatat sembilan kemenangan satu seri dalam semua pertandingan.

Leicester berpeluang menyamakan kedudukan menerusi Jamie Vardy (m-61) dan Rachid Ghezzal (m-77) namun dinafikan penjaga gol United David De Gea. – REUTERS

Berita Harian X