Ahad, 3 Februari 2019 | 8:15pm
Manchester United berkemungkinan besar melantik Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus sepenuh masa. - Foto Reuters

Syarat untuk Solskjaer

LONDON: Manchester United berkemungkinan besar melantik Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus sepenuh masa jika kelab Inggeris itu menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) dalam kancah Liga Juara-Juara.

Solskjaer setakat ini sudah mengharungi lapan kemenangan daripada sembilan perlawanan sejak memegang jawatan pengurus sementara dan kehadirannya di Old Trafford mengembalikan senyuman peminat United sejak pemecatan Jose Mourinho.

Begitupun, ujian terbesarnya masih menanti iaitu perlawanan timbal balik di peringkat Eropah menentang juara Perancis, PSG.

United menanti kunjungan PSG pada 13 Februari sebelum membuat kunjungan balas di Paris pada 7 Mac.

Menurut akhbar di England, Ketua Pegawai Eksekutif United, Ed Woodward kagum dengan kerja yang sudah dilaksanakan Solskjaer sejak pelantikannya sebagai pengurus sementara sehingga penghujung musim.

Dikhabarkan, Woodward menemui bekas pemain United itu pada minggu lalu untuk mengucapkan tahniah atas apa yang sudah dilakukannya.

Sebelum ini, pengurus Tottenham Mauricio Pochettino dicanang sebagai pilihan utama United tetapi laporan The Sun mengatakan majoriti pemain dan staf pengurusan percaya Solskjaer sebagai calon utama jika pasukan itu mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dengan menyingkirkan PSG.

Peluang United turut dikuatkan dengan kecederaan tonggak PSG, Neymar yang dijangka akan terlepas keseluruhan musim ini. - Agensi

1186 dibaca
Berita Harian X