Ahad, 3 Februari 2019 | 8:38am
Pengurus sementara The Red Devils, Ole Gunnar Solskjaer. - Foto Getty Image

Pemilik tak mahu Solskjaer kembali ke Molde

MANCHESTER: Ole Gunnar Solskjaer berkata pemilik kelab Molde berharap dia tidak kembali  ke Norway kerana mahu dirinya berjaya menjadi pengurus tetap Manchester United.

Solskjaer dilantik sebagai pengurus sementara The Red Devils bagi mengharungi baki saingan Liga Perdana Inggeris musim ini, menggantikan Jose Mourinho yang dipecat pada 19 Disember lalu.

United ketika ini difahamkan sedang membuat penilaian ke atas beberapa calon sebagai pengurus tetap kelab itu tetapi pengumuman mengenainya hanya dijangka berlaku selepas tamat saingan musim ini.

Pengurus Tottenham Hotspur, Mauriio Pochettino difahamkan antara menjadi pilihan utama United selain bekas jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane dan pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone.

Solskjaer yang beraksi bersama United antara 1996 hingga 2007 tanpa berselindung mengakui mahu mengendalikan kelab itu secara tetap.

Katanya, dia mendapat sokongan penuh daripada dua ahli perniagaan Norway, Kjell Inge Rokke dan Bjorn Rune Gjelsten sebagai pemilik bersama Molde.

“Ketika saya menghubungi pemilik dan memberitahu mengenai tawaran diberikan United, dia tahu itu adalah impian saya.

“Dia kemudian berkata pergilah dan nikmatinya. Yang paling penting jangan kembali semula,” kata Solskjaer.

Solskjaer menambah kedua-dua pemilik Molde mengucapkan selamat maju jaya buat dirinya kerana mereka tahu itu adalah sesuatu yang diimpikannya selama ini.

“Mendapat sokongan daripada mereka adalah sesuatu yang menakjubkan. Jika saya kembali ke Molde, saya akan buat yang terbaik untuk mereka tetapi ia bergantung bila saya akan kembali.

“Ia sangat menakjubkan setakat ini. Diharapkan saya dapat bertemu dengan keluarga saya secepat mungkin dan inilah satu-satunya keburukan kerja ini,” katanya.

Keluarga Solskjaer masih kekal di Norway manakala dia menetap di Manchester bagi memberi fokus mengubah masa depan United.

Dia memenangi lapan perlawanan pertamanya, sesuatu yang tidak pernah dicapai mana-mana pengurus United.

Namun, rekod itu berakhir selepas United sekadar seri 2-2 dengan Burnley, Selasa lalu. – AFP

Berita Harian X