Sabtu, 2 Februari 2019 | 11:04pm
Son Heung-Min (kanan) menjaringkan gol keduanya dalam tempoh empat hari untuk Tottenham Hotspur dalam kemenangan 1-0 ke atas Newcastle United di Wembley. - Foto AFP

Spurs lonjak ke tangga kedua

LONDON: Son Heung-min menjaringkan gol keduanya dalam tempoh empat hari untuk Tottenham Hotspur dalam kemenangan 1-0 ke atas Newcastle United di Wembley dan memintas Manchester City di tangga kedua Liga Perdana Inggeris.

Ketika Spurs seakan merakam keputusan seri pertama musim ini, Heung-min melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang gagal ditangkap penjaga gol Martin Dubravka dan merapatkan jurang kepada empat mata dengan pendahulu, Liverpool yang akan bermain Isnin ini.

Ia adalah gol kesembilan pemain Korea Selatan itu dalam 10 penampilan untuk Tottenham dan tamparan hebat buat Newcastle yang begitu hampir mengutip satu mata malam ini.

Spurs mensia-siakan deretan peluang termasuk tandukan Lucas Moura di hadapan gawang, tandukan Erik Lamela yang terkena tiang dan percubaan Christian Eriksen yang dinafikan oleh Fabian Schar di atas garisan.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino sebelum ini sudah dua kali menjaringkan gol kemenangan liga di akhir permainan, menentang Fulham dan Watford.

Newcastle tidak pernah menang di Wembley sejak tahun 1955. – REUTERS

Berita Harian X