Sabtu, 2 Februari 2019 | 10:03am

Arsenal atau City terkedu di Etihad?

 

KOLUM APA KATA EPL

 

PENYANDANG juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City bagai mendapat talian hayat apabila Liverpool terikat 1-1 dengan Leicester City pada pertengahan minggu. 

Sebelum itu, skuad Pep Guardiola terkedu apabila dikejutkan Newcastle United, 1-2 untuk memberi kelebihan kepada The Reds menjarakkan kedudukan dengan kelebihan tujuh mata di tangga pendahulu dan kedua.    

Dengan kelebihan hanya lima mata, City kini  boleh mencongak kembali peluang untuk terus mempertahankan kejuaraan. 

Namun, minggu ini tugas mereka bukan mudah kerana perlu melepasi skuad Unai Emery, Arsenal di laman sendiri. 

Mampukah mereka bangkit mengatasi Gunners yang menang ke atas Cardiff pertengahan minggu?  Dengan saingan berbaki 14 perlawanan, City tidak punya pilihan. 

Mereka tidak boleh lagi  tercicir mata. Guardiola perlu memenangi pertemuan di Etihad tengah malam esok untuk memberi tekanan kepada Liverpool. Pendahulu liga itu hanya akan beraksi pada jam 4 pagi Selasa. 

Andai menang, City hanya akan ketinggalan dua mata, sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam.   Liverpool bakal berkunjung ke West Ham dengan diselubungi kecewa apabila hanya memperoleh satu mata di laman sendiri bertemu Leicester selepas dinafikan penalti oleh pengadil Martin Atkinson pada aksi itu.   

Bagi Arsenal, kunjungan ke Etihad sangat penting untuk dimenangi. Selepas mencapai sasaran untuk menduduki tangga keempat liga, mereka sudah pasti mempertahankan kedudukan itu atau mungkin lebih lagi sehingga penghujung musim.  

Anak buah Emery memintas Chelsea selepas The Blues dimalukan Bournemouth, 0-4 pada aksi pertengahan minggu. Kedua-dua pasukan menghimpun 47 mata dengan dibezakan jumlah jaringan. 

Mereka ketinggalan tujuh mata dibelakang Tottenham Hotspur yang menduduki tempat ketiga liga.   Dengan City dan Arsenal jelas memiliki misi sama, penulis jangkakan satu pertarungan epik bakal berlangsung di Etihad, tengah malam esok.   

Sementara itu, Liverpool dijangka  mengenepikan West Ham jika mampu bangkit dari duka awal pagi Selasa untuk terus mendominasi persada liga. The Hammers berdepan tugas berat selepas dibelasah Wolves 3-0.    

Spurs yang menundukkan Watford 2-1 pertengahan minggu, mampu memintas City di tangga kedua jika dapat menjinakkan Newcastle jam 8.30 malam ini. 

Tapi ia bukan tugas mudah, kerana lawannya bakal hadir dengan motivasi tinggi hasil kejayaan menjinakkan City.  

Dalam pada itu, Chelsea dijangka bangkit apabila berdepan Huddersfield malam ini untuk kembali merampas kedudukan keempat liga dari Arsenal.  

Manchester United yang melakukan kebangkitan luar biasa sebelum mengikat Burnley pada pertengahan minggu, harus berwaspada apabila berkunjung ke King Power bertemu Leicester jika tidak mahu terkedu lagi selepas mencatat lapan kemenangan berturut-turut dalam semua aksi. 

Selamat menonton.

 

RAMALAN MINGGU INI

Tottenham 1 Newcastle 2

Everton 2 Wolves 2

Chelsea 1 Huddersfield 1

Brighton 2 Watford 1

Burnley 3  Southampton 2

Crystal Palace 2  Fulham 2

Cardiff  2 Bournemouth 2

Leicester  1 Man United 2

Man City 2  Arsenal 2

West Ham 1 Liverpool 2

*Penulis adalah Penolong Editor Sukan BH

 

 

Berita Harian X