Jumaat, 1 Februari 2019 | 9:32pm
Presidennya PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie. - Arkib NSTP

PFA mohon pemain sabar

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) mengharapkan pemain mereka tidak akan mengangkat kaki meskipun mereka masih lagi belum merasai gaji pertama seperti yang dijanjikan.

Itu harapan besar daripada Presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie selepas mengakui pasukan terbabit sedang mengalami masalah tunggakan yang membelenggu pasukan sejak musim lalu.

Bagaimanapun, Amizal dilihat akur seandainya ada pemain yang mahu membawa haluan masing-masing dengan membatalkan kontrak sekiranya masalah sama berlanjutan sehingga dua bulan.

“Kita tidak boleh halang kemahuan pemain tetapi saya mengharapkan pemain dapat bersabar kerana kita sememangnya sedang berdepan kekangan kewangan susulan masalah musim lalu,” kata Amizal.

“Memang kita sudah memaklumkan kepada pemain mengenai kelewatan pembayaran tetapi kita sedang berusaha mencari jalan untuk melunaskan pembayaran gaji kepada mereka.

“Apapun, saya harapkan ini tidak menghalang fokus mereka untuk aksi bertemu UKM FC selepas ini kerana ini perlawanan yang penting untuk kita.”

Pada masa sama, Amizal mengakui mereka sentiasa terbuka kepada mana mana pihak yang mahu bekerjasama dengan mereka.

"Kita sentiasa mengalu alukan jika ada pihak yang mahu menaja dan membantu pasukan ini,” katanya.

Terdahulu, pemain pasukan itu, Safee Sali mengesahkan dia masih belum menerima gaji pertamanya sejak menyertai skuad Singa Utara awal Disember lalu.

Difahamkan pada 7 Januari lalu, Safee tidak menerima gaji pertama dengan pengurusan PFA berjanji untuk menyelesaikannya pada hujung bulan.

Namun memasuki bulan Februari, PFA masih gagal melunaskan gaji pemain dengan skuad kendalian Manzoor Azwira Abdul Wahid akan membuka tirai Liga Perdana menentang UKM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Ahad ini.

Berita Harian X