Khamis, 31 Januari 2019 | 12:55pm
NOR Azam Azih

Tok Gajah enggan pulang hampa

KUANTAN: Pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih tidak mahu kunjungan ke Stadium Bolasepak KLFA, Cheras pada aksi pembuka tirai Liga Super malam esok berakhir kekecewaan. 

Justeru, pemain berumur 24 tahun itu bersama rakan sepasukan mahu memastikan skuad Tok Gajah menang ke atas Kuala Lumpur yang diakui memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri. 

"Kami sudah melakukan segalanya sepanjang sesi latihan dan mempamerkan aksi mantap dalam beberapa perlawanan persahabatan.  Diharapkan komitmen diberikan selama ini dapat diterjemahkan pada perlawanan pertama dengan keputusan positif. 

"Biarpun Kuala Lumpur dilihat mempunyai kelebihan beraksi di laman mereka, kami perlu membuktikan musim ini Pahang memiliki barisan pemain lebih baik berbanding musim lalu," katanya. 

Nor Azam berkata, kemunculan semula Dickson Nwakaeme juga memberi inspirasi terbaik buat skuad Pahang terutama ketajaman di bahagian serangan.  Katanya, penyerang Nigeria itu juga sebagai penyuntik semangat kepada rakan sepasukan untuk meletakkan Pahang pada kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super musim ini.

"Saya percaya kehadiran empat pemain import baharu musim ini akan memberi impak dalam memperkasakan pasukan di semua posisi.  "Mereka juga menunjukkan komitmen tinggi sepanjang sesi latihan untuk membantu Pahang beroleh kejuaraan musim ini," katanya. 

Selain mempertaruhkan Nwakaeme, Pahang turut dibarisi penyerang import Brazil, Jose Eduardo, Saddil Ramdani (Indonesia), Herold Goulon (Perancis) dan Safuwan Baharudin (Singapura). 

Lebih menggembirakan Tok Gajah musim ini apabila pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh yang juga pemain naturalisasi pertama negara didaftarkan sebagai pemain tempatan.

371 dibaca
Berita Harian X