Rabu, 30 Januari 2019 | 10:06am
Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berjabat tangan dengan pembantu jurulatih Michael Carrick selepas perlawanan menentang Burnley, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Solskjaer tabik semangat juang United

MANCHESTER: Ole Gunnar Solskjaer menghambur pujian terhadap semangat juang pemainnya, ketika Manchester United bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mencatat keputusan seri 2-2 menentang Burnley, awal pagi tadi.

Solskjaer sebelum ini terkenal dengan jaringan kemenangan lewatnya ketika Red Devils menjulang gelaran Eropah pada 1999 menewaskan Bayern Munich, yang menjadi antara satu detik paling dramatik dalam era Sir Alex Ferguson.

Dan jurulatih sementara itu mengharungi situasi yang sama di Old Trafford, awal pagi tadi ketika United mengekalkan rekod tanpa kalah sejak mendapat sentuhannya.

Sekali pun ini kali pertama United gagal mencatat kemenangan dalam sembilan perlawanan sejak kehadiran Solskjaer, susulan pemecatan Jose Mourinho sebelum Krismas, ia masih keputusan yang memberangsangkan.

United ketinggalan dua gol ketika perlawanan berbaki tiga minit, sebelum penalti Paul Pogba merapatkan kedudukan, diikuti jaringan penyamaan oleh Victor Lindelof pada minit ke-92, berpunca gerakan Ashley Young dan Alexis Sanchez.

“Saya banyak kali berkata ia adalah semangat yang hebat dan cara mereka bangkit adalah menakjubkan,” kata Solskjaer. “Cara mereka bangkit daripada ketinggalan cukup mengagumkan. 

“Kini kami memiliki jawapan: adakah mereka boleh bangkit jika mereka ketinggalan satu atau dua gol? Saya amat gembira dengan tindak balas yang ditunjukkan,”

Terdahulu, sentuhan magis Solskjaer tampak pudar apabila Andreas Pereira, yang mengharungi perlawanan ketiga dalam kesebelasan utama United memberikan Burnley gol pembukaan pada minit ke-51.

Pereira menerima bola hantaran Phil Jones, tetapi dirampas pemain Burnley, Jack Cork yang pantas membuat hantaran kepada Ashley Barnes yang kemudian menewaskan David De Gea.

Selepas 80 minit permainan berlangsung, United memperoleh satu lagi kekecewaan apabila Burnley menggandakan jaringan menerusi Chris Wood sebelum mereka mendapat penalti, selepas Jeff Hendrick dikatakan menjatuhkan Jesse Lingard.

Keputusan pengadil, Jonathon Moss itu tidak menggembirakan pengurus Burnley, Sean Dyche.

“Saya tidak gemar apabila orang yang disentuh di bahagian bahu dan kemudian kaki mereka tidak dapat berfungsi,” kata Dyche.

“Tetapi itulah bola sepak moden, semua orang lihat ia boleh diterima, kecuali saya.” - AFP

683 dibaca
Berita Harian X