Sabtu, 26 Januari 2019 | 11:13am
LAURENT Koscielny cedera ketika Arsenal tewas kepada Manchester United pada pusingan keempat Piala FA Inggeris. - Reuters

Masalah Arsenal kian runcing

LONDON: Arsenal berdepan krisis kecederaan selepas kapten, Laurent Koscielny dikhuatiri retak tulang rahang manakala Sokratis dipalit masalah buku lali ketika tewas kepada Manchester United, awal pagi tadi.

Kekalahan 1-3 pada pusingan keempat Piala FA Inggeris itu menyaksikan Gunners hanya mempunyai seorang pertahanan tengah yang cergas sepenuhnya.

Skuad kendalian Unai Emery sudah bergelut di posisi belakang sebelum perlawanan apabila kecederaan lutut serius memaksa dua pertahanannya, Rob Holding dan Hector Bellerin berehat hingga hujung musim ini.

Ketika ditanya mengenai situasi itu, Emery berkata: “Saya fikir ia bukan masalah yang besar untuk Sokratis, ia berkaitan buku lali dan Laurent Koscielny akan pergi ke hospital untuk menjalani ujian.


SOKRATIS menerima rawatan ketika aksi pusingan keempat Piala FA Inggeris. - Reuters

“Mungkin ada sesuatu yang patah. Saya harap ia tidak, tapi kami perlu menunggu,” kata Emery sambil menunjuk rahangnya.

Emery juga mendakwa masalah kecederaan itu menyumbang kekalahan di tangan United yang kini sudah menang lapan perlawanan berturut-turut di bawah kendalian jurulatih sementara, Ole Gunnar Solskjaer.

Pada aksi di Stadium Emirates itu, pelawat memperoleh kelebihan dua gol berpunca daripada bekas pemain Arsenal, Alexis Sanchez dan Jesse Lingard sebelum Pierre-Emerick Aubameyang merapatkan jurang sebelum rehat.

“Pada kedudukan 1-2 saya fikir kami masih boleh berjuang dengan kemungkinan untuk seri atau meraih kemenangan,” kata Emery. “Tapi saya fikir disebabkan oleh kecederaan ini, terutama sekali kecederaan kedua buat Koscielny, ia tidak membantu kami. Dua kecederaan mengubah begitu banyak kemungkinan.”

Pemain gantian United , Anthony Martial melengkapkan gol kemenangan lewat perlawanan menerusi serangan balas pantas. - Reuters

934 dibaca
Berita Harian X