Selasa, 22 Januari 2019 | 11:57pm
PEMAIN baharu Cardiff City, Emiliano Sala dari Argentina dikhuatiri terkorban selepas pesawat ringan dinaikinya hilang ketika merentasi Selat Inggeris. - Foto The Independent

Sala dikhuatiri terkorban, pencarian diteruskan

NANTES, Perancis: Pemain baharu kelab Liga Perdana Inggeris Cardiff City, Emiliano Sala dari Argentina, dikhuatiri terkorban selepas pesawat ringan dinaikinya hilang ketika merentasi Selat Inggeris.

 

Sala, ditandatangani dari kelab Perancis Nantes pada harga 17 juta euro (RM79.9 juta) Sabtu lalu, terbang ke Cardiff menaiki pesawat berkenaan yang kemudian hilang daripada radar sekitar 20 kilometer ke utara Guernsey.

Pihak berkuasa Perancis mengesahkan pemain 28 tahun itu “berada di dalam pesawat berkenaan”. Seorang penumpang lain turut dikatakan bersama Sala.

Kenyataan daripada polis Guernsey, kepulauan British berhampiran perairan Perancis, berkata juruterbang pesawat berkenaan memohon kebenaran untuk terbang rendah sebelum pusat kawalan udara di Jersey terputus hubungan.

Selepas pencarian ditangguhkan semalam akibat angin kuat, dua helikopter, dua kapalterbang dan sebuah bot penyelamat menyambung usaha mencari pesawat berkenaan pagi tadi.

“Setakat ini lebih usaha mencari membabitkan lima pesawat dan dua bot penyelamat sudah meliputi kawasan melebihi 1,000 batu persegi (2590 kilometer persegi),” kata polis Guernsey.

“Tidak ada jejak pesawat. Pencarian akan diteruskan.”

 

Bapa Sala, Horacio memberitahu stesen televisyen Argentina C5N yang dia hanya mengetahui perkara itu melalui laporan media.

“Saya tidak tahu apa-apa, saya tidak mempunyai sebarang maklumat. Sukar untuk dipercayai, saya amat tertekan. Saya harap semuanya baik,” katanya. – AFP

3707 dibaca
Berita Harian X