Selasa, 22 Januari 2019 | 7:00pm
Lima pemain yang sah mewakili Melaka United iaitu bekas pemain import Kedah, Liridon Krasniqi (dua dari kiri); penyerang dari Brazil, Anselmo Casagrande (dua dari kanan); pemain tengah dari Montenegro, Darko Marković (kanan); pemain pertahanan dari Korea Selatan, Jang Suk Won (kiri) dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (tengah) selepas menandatangani kontrak semusim untuk bersama skuad Melaka United mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2019. - NSTP/Rasul Azli Samad

Melaka sah ikat Mat Don, 3 import

AYER KEROH: Pemain kelahiran Kosovo, Liridon Krasniqi menamatkan spekulasi pasukan pilihannya musim ini apabila semalam sah menyarung jersi Melaka United (MU) selepas menandatangani kontrak selama setahun dengan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA).

Selain bekas tonggak import Kedah itu, tiga lagi pemain import turut berbuat demikian adalah pertahanan dari Korea Selatan, Jang Suk Won; pemain tengah dari Montenegro, Darko Markovic dan penyerang dari Brazil, Anselmo Casagrande.

Presiden MUSA yang juga Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kehadiran empat pemain import berpengalaman itu akan memperkasakan lagi Melaka bagi mengharungi saingan Liga Super.

Katanya, pihaknya meletakkan harapan besar kepada pemain untuk menjadi pasukan terbaik dengan disokong komitmen jurulatih dan pengurus.

“Kami yakin boleh membina pasukan terbaik dengan penilaian terhadap pemain sentiasa ditambah baik. Beberapa inisiatif sudah dijalankan sebagai langkah memperkukuh dan memperkuatkan pasukan, antaranya mengadakan perlawanan persahabatan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Walaupun tempoh agak singkat (menjelang Liga Super), saya yakin banyak lagi perkara boleh ditambah baik,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak pemain Melaka di pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Adly berkata, isu kebajikan pemain dan jurulatih selain prestasi pengurusan pasukan turut menjadi keutamaan MUSA.

“Semua faktor itu sudah diambil kira. Bukan saja gaji tapi juga soal kebajikan pemain,” katanya.

Berita Harian X