Ahad, 20 Januari 2019 | 7:22pm

Tok Gajah masih uji Eduardo

KUANTAN: Walaupun pemain Brazil, Jose Eduardo sudah berada di sini dan menjalani latihan bersama Pahang, namun belum ada kata putus dia akan mengisi slot pemain import kelima bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. 

Eduardo, 32, yang bermain di posisi serangan tiba di Kuantan semalam, untuk meyakinkan dia layak mengisi kekosongan terakhir kuota import skuad Tok Gajah.

Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang menegaskan, mereka akan menilai prestasi Eduardo, sama ada memenuhi kriteria ditetapkan sebelum membuat keputusan.

"Walaupun pernah beraksi bersama kelab terbaik Brazil, Santos dan bermain bersama Neymar Jr, dia perlu diuji.

"Namun, kami sememangnya mahu mendapatkan seorang lagi pemain import terutama penyerang untuk memperkuatkan jentera serangan skuad ini," katanya. 

Setakat ini, empat import sah bersama skuad Tok Gajah iaitu Dickson Nwakaeme dari Nigeria, Saddil Ramdani (Indonesia), Herold Goulon (Perancis) dan Safuwan Baharudin (Singapura). 

Dengan status Mohamadou Sumareh dari Gambia sah didaftarkan sebagai pemain tempatan musim ini, skuad Pahang dijangka lebih mantap dalam meraih kejuaraan. 

Musim lalu, Tok Gajah menjulang Piala FA dan menduduki tangga keempat Liga Super dan terkandas di suku akhir Piala Malaysia.

1069 dibaca
Berita Harian X