Ahad, 20 Januari 2019 | 1:42am
PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah (kanan) menjaeingkan gol ketiga ketika menentang Crystal Palace di Anfield, sebentar tadi. - Foto Reuters

Liverpool raih kemenangan dramatik

LONDON: Liverpool menjarakkan kedudukan kepada tujuh mata di persada Liga Perdana Inggeris (EPL), dengan Mohamed Salah meledak dua gol ketika meraih kemenangan dramatik 4-3 ke atas Crystal Palace, sebentar tadi.

Ketika pasukan di tangga kedua, Manchester City bakal berkunjung ke laman pasukan tercorot, Huddersfield malam ini, Liverpool mengambil peluang mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu.


PEMAIN tengah Liverpool, Sadio Mane meledak gol keempat Liverpool. - Foto Reuters

Skuad bimbingan Jurgen Klopp ditekan hebat Palace, namun Salah menemui sentuhan jaringan apabila bijak mengambil kesempatan daripada kesilapan penjaga gol pelawat, Julian Speroni untuk gol kedua peribadinya.

Kemenangan ini memastikan Liverpool mengekalkan rekod tanpa kalah di Anfield kepada 32 perlawanan.

Liverpool mengumpul 60 mata daripada 23 perlawanan - mengatasi pencapaian terbaik sebelum ini dengan 59 mata bagi jumlah perlawanan yang sama pada musim 1893-94 dan 1987-88.

Palace, yang kali terakhir menewaskan Liverpool di Liga Perdana di Anfield pada April 2017, mengejutkan tuan rumah menerusi gol pembukaan pada minit ke-34.

Wilfried Zaha melakukan hantaran silang cantik sebelum disudahkan Andros Townsend, yang merembat bola rendah untuk menewaskan Alisson Becker.

Salah menyamakan kedudukan pada minit ke-46, apabila menolak masuk bola muntah hasil percubaan Virgil van Dijk - untuk meledak gol ke-18 pada musim ini.

Liverpool berada depan pada minit ke-53, apabila Roberto Firmino meledak gol kedua, namun James Tomkins kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-65.

James Milner kemudiannya melakukan hantaran bola tinggi yang gagal dikeluarkan Speroni, sekaligus membolehkan Salah cuma perlu menolak masuk untul gol ketiga Liverpool pada minit ke-75.

Namun, Liverpool terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Milner dilayangkan kad kuning kedua dan diarahkan keluar padang apabila dikenakan kad merah pada minit ke-89.

Tuan rumah bagaimanapun masih bernafsu memburu jaringan apabila Sadio Mane menjaringkan gol keempat pada masa tambahan, sebelum Max Meyer merapatkan jurang menerusi gol ketiga Palace, dua minit selepas itu - AFP

2304 dibaca
Berita Harian X