Ahad, 20 Januari 2019 | 1:33am
PENGURUS sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer rai kemenangan ketujuh selepas menewaskan Brighton di Old Trafford, sebentar tadi. - Foto Reuters

Solskjaer julang United raih kemenangan ketujuh

LONDON: Manchester United meneruskan rentak sempurna di bawah pengendali sementara, Ole Gunnar Solskjaer kepada tujuh kemenangan dalam kesemua perlawanan apabila menumbangkan Brighton 2-1, sebentar tadi.

Kemenangan dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu melonjakkan United ke tangga kelima dengan 44 mata daripada 23 perlawanan, melebihi tiga mata berbanding penghuni tangga keenam, Arsenal.

Arsenal boleh merampas kembali kedudukan itu jika menewaskan Chelsea, dalam satu pertembungan sebentar lagi.


PEMAIN tengah Manchester United, Paul Pogba (kanan) jaring gol pertama United menerusi sepakan penalti. - Foto EPA

Dalam aksi tadi, United meledak dua gol awal menerusi jaringan Paul Pogba dan Marcus Rashford pada babak pertama permainan.

Bagaimanapun, prestasi tuan rumah dilihat agak menurun selepas itu dan berada dalam keadaan cemas apabila Pascal Gross menjaringkan gol buat Brighton.

Pogba membuka tirai jaringan pada minit ke-27 menerusi sepakan penalti, manakala Rashford yang membuat penampilan ke-150 bersama United, menjadikan keputusan kepada 2-0 pada babak pertama.

Gross mengurangkan defisit pada minit ke-72. - Reuters

1881 dibaca
Berita Harian X