Sabtu, 19 Januari 2019 | 12:43pm
Jurulatih Pahang FA, Dolah Salleh bersama pemain Import Pahang, Dickson Nwakaeme ketika menjalani sesi latihan untuk perlawanan pembukaan bagi menghadapi saingan Liga Super 2019 di Padang Taman Gelora, Kuantan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Dollah gembira komitmen Nwakaeme

KUANTAN: Faktor usia bukan ukuran sebaik skuad Pahang membuat keputusan menerima kembali Dickson Nwakaeme bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengalaman luas penyerang Nigeria itu ketika bersama Tok Gajah pada 2014 dan 2015 serta menyarung jersi kelab Perancis, Angres SCO pada 2016 dan 2017 diyakini dapat membantu meraih kejuaraan buat Pahang.

Pencapaian terbaik pemain berumur 33 tahun itu apabila penampilan sulungnya pada musim 2014 membantu mereka menjulang tiga trofi iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Bagi pengendali Pahang, Dollah Salleh, beliau berpuas hati dengan kehadiran Nwakaeme yang diyakini memberi kekuatan buat skuad Tok Gajah terutama menambah lagi ketajaman di bahagian serangan.

"Apa yang dapat saya lihat pada sesi latihan pertama, Nwakaeme tidak menghadapi masalah bersama rakan sepasukan dan tiada perlu dikhuatirkan.

"Saya juga percaya dia dapat menyesuaikan diri untuk memastikan Tok Gajah bersedia mengharungi Liga M yang akan memulakan saingan tidak lama lagi.

"Kehadirannya membantu menguatkan bahagian serangan kerana pada aksi pramusim di Thailand baru-baru ini, kami tidak menurunkan penyerang," katanya.

Dengan pengesahan Nwakaeme yang digelar 'Orang Besi', Pahang sudah memiliki empat pemain import termasuk Saddil Ramdani dari Indonesia, Herold Goulon (Perancis) dan Safuwan Baharudin (Singapura).

Ditanya lima kuota import, Dollah mengesahkan seorang pemain yang beraksi di posisi serangan akan bersama skuad itu selepas baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

"Dengan kehadiran seorang lagi pemain import, saya percaya skuad Pahang akan lengkap sepenuhnya minggu depan.

"Kita percaya musim ini skuad Tok Gajah akan mempamerkan prestasi lebih baik untuk meraih kejuaraan," katanya.

Musim lalu, skuad Tok Gajah menjulang Piala FA dan menduduki tangga keempat Liga Super manakala terkandas di suku akhir Piala Malaysia.

1975 dibaca
Berita Harian X