Sabtu, 19 Januari 2019 | 11:32am
Romelu Lukaku. - Foto Reuters

Lukaku masih dalam perancangan Solskjaer

MANCHESTER: Romelu Lukaku diberikan jaminan oleh Ole Gunnar Solskjaer bahawa dia akan mendapat peluang di Manchester United meskipun tempatnya sebagai penyerang utama kini dirampas Marcus Rashford.

Sejak Solskjaer mengambil alih United pada 19 Disember lalu, Lukaku tidak pernah diturunkan dalam kesebelasan utama aksi Liga Perdana Inggeris walaupun berjaya menjaringkan tiga gol daripada empat penampilan dalam semua pertandingan.

Hanya aksi Piala FA berdepan Reading menjadi satu-satunya gol yang dihasilkannya daripada kesebelasan utama ketika dua lagi gol disumbangkan ketika menentang Bournemouth dan Newcastle selepas dibawa masuk sebagai pemain gantian.

Kepantasan Rashford kelihatan lebih sesuai dengan gaya permainan Solskjaer, tatkala ia terbukti dengan jaringan kemenangannya sewaktu mengatasi Tottenham 1-0 minggu lalu.

Namun, pengurus dari Norway itu menjelaskan betapa beliau memerlukan semua enam penyerang seniornya dalam usaha mereka menghidupkan peluang memenangi piala pada musim ini.

Malah, Solskjaer lebih berminat mempertaruhkan Anthony Martial dan Jesse Lingard di sisi Rashford bagi melengkapkan trio penyerangnya, dengan pembabitan Alexis Sanchez terbantut gara-gara isu kecederaan, dan Juan Mata turut memulakan dua daripada lima aksi di bawah kendalian pengurus baharu itu.

Ditandatangani daripada Everton dengan harga £75 juta pada Julai 2017, Lukaku muncul selaku pemain kedua termahal sejarah kelab itu dan pengendali sementara Solskjaer menegaskan dia masih berada dalam perancangan United.

“Sudah tentu dia mempunyai peranan besar dalam skuad ini, dengan personaliti hebatnya. Tidak ada mana-mana pemain pun dapat menandingi jumlah jaringan yang dihasilkannya dalam sesi latihan.

“Memang tiga penyerang ini lebih banyak diturunkan, tetapi saya turut memiliki Romelu, Juan dan Alexis, jadi saya mempunyai enam penyerang yang boleh digilirkan dan sudah tentu Romelu akan diturunkan.”

Solskjaer turut merujuk zaman kariernya sebagai pemain di Old Trafford, apabila beliau berjaya membina reputasi sebagai peledak gantian berbisa.

Walaupun sekadar bertindak sebagai penyerang sokongan di belakang Andy Cole dan Dwight Yorke dalam skuad gelaran ‘treble’ 1999, beliau serta Teddy Sheringham sebenarnya muncul wira yang menjulang United mengatasi Bayern Munich dalam pertarungan final Liga Juara-Juara untuk melengkapkan musim selepas memenangi EPL dan Piala FA.

“Saya pernah menjadi satu daripada empat penyerang ketika zaman kami beraksi dengan formasi dua penyerang. Kini kami mempunyai enam penyerang dan bermain dengan formasi tiga penyerang.

“Ia sepatutnya menjadi OK untuk digilirkan dengan terdapat jumlah perlawanan dan tempoh secukupnya untuk beraksi. Ia lebih kepada anda memanfaatkan peluang setiap kali diturunkan.” – AFP

Berita Harian X