Jumaat, 18 Januari 2019 | 11:40pm
RUI Faria dilantik sebagai ketua jurulatih kelab Liga Qatar, Al Duhail. - Foto Sport360

Pembantu Mourinho, Rui Faria kemudi kelab Al Duhail

DOHA: Rui Faria, yang menjadi pembantu Jose Mourinho mengemudi beberapa kelab besar di Eropah dilantik sebagai ketua jurulatih kelab Liga Qatar, Al Duhail, umum kelab itu sebentar tadi.

Ia adalah jawatan pertama buat pengendali berusia 43 tahun itu sejak meninggalkan tugas selaku orang nombor dua Manchester United, ketika era Mourinho.

"Pengurusan kelab membuat keputusan melantik jurulatih dari Portugal, Rui Faria untuk mengemudi kelab....selepas beberapa rundingan secara intensif,” umum kelab itu melalui laman sosial Twitter.

Difahamkan, Duhail berjaya mengatasi tawaran beberapa kelab lain yang turut berminat mendapatkan khidmat Faria.

"Kelab akan memperkenalkan jurulatih ini kepada media dalam tempoh dua hari lagi,”

Faria menjadi pembantu Mourinho selama 17 tahun ketika menguruskan Chelsea, Inter Milan, Real Madrid dan Manchester United.

Namun, Faria membuat keputusan mengejut untuk berundur ketika membantu Mourinho di Old Trafford, tahun lalu.

Berdasarkan kenyataan daripada Manchester United, beliau memberi alasan mahu menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga sebelum mendapat pekerjaaan baharu. - AFP

Berita Harian X