Selasa, 15 Januari 2019 | 3:06pm
PENGENDALI TFC, Irfan Bakti Abu Salim - Foto Imran Makhzan

Terengganu lulus ujian pertama di Vietnam

KUALA TERENGGANU: Naib juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC (TFC) lulus ujian pertamanya di Vietnam pada aksi pramusim selepas mengatasi kelab tersohor Binh Duong 3-2 di Thu Dau Mot, semalam.

Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim berkata, secara keseluruhannya beliau gembira dengan corak permainan anak buahnya yang disifatkan cepat matang dan kian serasi selepas lebih sebulan menjalani latihan.

“Peningkatan yang dipamerkan begitu memberangsangkan sekali, saya lihat dalam tempoh 70 minit pertama, pemain kami bermain sebagai satu pasukan, ini sesuatu yang positif menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga-M).

“Malah secara keseluruhan pemain juga sudah nampak keserasian dengan hantaran dan permainan satu dua yang baik, begitu juga kerjasama dalam kalangan pemain sama ada ketika menyerang atau bertahan, ini yang saya ingin lihat.

“Soal keputusan perlawanan ini (semalam) tidak begitu penting kerana apa yang lebih penting bagaimana mereka mampu beraksi sebagai satu pasukan dan menggunakan sebaik mungkin kesempatan ini,” kata Irfan dalam laman rasmi TFC.

Pada perlawanan itu, Irfan menurunkan kesebelasan utamanya termasuk lima awang import Kipre Tchetche, Igor Zonjic, Thierry Chantha Bin, Lee Tuck dan pemain baharunya, Sanjar Shaakhmedov.

TFC yang ketinggalan satu gol hasil jaringan sendiri pertahanan, Adib Aizuddin Latif akhirnya bangkit mencatat kemenangan menerusi gol Shahrul Aizad Zulkufli, Tuck dan Shaakhmedov.

Mereka akan bertemu Truong Giang FC esok diikuti aksi terakhir dengan Than Quang Ninh FC, Khamis ini.

1002 dibaca
Berita Harian X