Selasa, 15 Januari 2019 | 11:23am
MFL menerima rayuan Pahang untuk mendaftarkan Sumareh sebagai pemain tempatan. - Arkib NSTP

Terima kasih MFL

KUANTAN: Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) berterima kasih kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kerana mengesahkan Mohamadou Sumareh didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Keputusan itu sememangnya dinantikan Pahang yang dalam persediaan membentuk skuad terbaik bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. 

Pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, pengesahan Sumareh itu memberi peluang buat Pahang untuk melengkapkan kouta lima pemain import.

"Melalui pengesahan ini, ia berita gembira buat Pahang terutama kepada peminat skuad Tok Gajah yang mengharapkan Sumareh didaftarkan sebagai pemain tempatan. 

"Kami berterima kasih kepada MFL yang menerima rayuan dan keputusan ini membolehkan Pahang melengkapkan kouta lima pemain import termasuk empat pemain baharu. 

"Setakat ini, hanya Safuwan Baharudin dari Singapura yang beraksi bersama Pahang musim lalu kekal, manakala tiga pemain lain iaitu Patrick Cruz, Austin Amutu dan Issey Nakajima tidak lagi bersama Pahang musim ini," katanya. 

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam mengesahkan MFL menerima rayuan Pahang untuk mendaftarkan Sumareh sebagai pemain tempatan.

Keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira persembahan cemerlang pemain naturalisasi pertama negara itu sepanjang mewakili Malaysia di Piala AFF Suzuki, tahun lalu. 

Lembaga Pengarah MFL turut memberi pertimbangan Sumareh turut membantu kejayaan pasukan muncul naib juara Piala AFF 2018.

Pada Oktober lalu, MFL mengesahkan skuad juara Piala FA 2018 itu boleh mendaftar Sumareh sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga M 2019. 

Bagaimanapun, dia hanya boleh didaftarkan bermula Mac 2019 dan kekal mengisi kuota pemain import pada jendela perpindahan pertama, sebelum menukar status pada jendela perpindahan kedua.

868 dibaca
Berita Harian X