Isnin, 14 Januari 2019 | 10:34pm
PEMAIN tengah Liverpool berasal dari Brazil, Fabinho. - Foto Liverpool FC

Klopp yakin kemampuan Fabinho

LONDON: Prestasi pemain tengah Brazil, Fabinho ketika kemenangan 1-0 Liverpool ke atas Brighton, Sabtu lalu meyakinkan Jurgen Klopp untuk menggandingkannya bersama tonggak pertahanan Virgil van Dijk.

Pemain Croatia, Dejan Lovren menambah masalah Klopp di bahagian pertahanan tengah apabila finalis Piala Dunia itu mengalami kecederaan hamstring ketika Liverpool tewas dalam aksi Piala FA kepada Wolverhampton Wanderers, minggu lalu.

Selain Lovren, Liverpool turut kehilangan Joe Gomez yang masih menderita kecederaan kaki dengan pemain Cameroon,  Joel Matip baru saja menjalani latihan selepas pulih daripada kecederaan.

Sekali pun mengakui jentera serangan Brighton tidak begitu mengancam pada perlawanan berkenaan, Klopp begitupun memuji prestasi Fabinho dengan kemenangan membolehkan skuad kendaliannya mengukuhkan kedudukan di puncak liga.

“Dia adalah pemain yang bijak dan saya amat gembira yang dia boleh bermain (menentang Brighton) dan sudah agak jelas sekarang (dia boleh bermain di posisi pertahanan),” kata Klopp.

“Kami sentiasa mendapat bola, jadi ia nampak masuk akal untuk membariskan pemain yang baik di posisi itu. Dia beraksi dengan baik dalam situasi itu (bola tinggi) dan permainannya amat jelas.

“Dia memiliki otak bertahan dan boleh melakukannya dalam posisi yang berbeza, ia bagus,” kata pengendali kelahiran Jerman itu yang turut berharap pertahanan mudanya, Trent Alexander-Arnold tidak mengalami kecederaan yang serius.

Pemain kebangsaan England berusia 20 tahun itu tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama Liverpool ketika menentang Brighton selepas mengadu kesakitan di bahagian buku lali. - AFP 

612 dibaca
Berita Harian X