Isnin, 14 Januari 2019 | 6:09pm
PENGENDALI The Fighters, Mohd Nidzam Jamil - Foto Mohd Yusni Ariffin

The Fighters kekal beraksi di STAR

 

KUANTAN: Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Maran kekal menjadi gelanggang rasmi skuad FELDA United FC bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.  

Ia disahkan pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil yang mengharapkan sokongan padu dapat diberikan peminat kelab itu sepanjang mengharungi Liga M 2019.  

"Sebenarnya, tiada sebarang perubahan menukar stadium lain kerana STAR memikili kemudahan terbaik buat FELDA United.  

"Saya gembira apabila STAR masih menjadi stadium rasmi kelab ini dan pada masa sama, pihak pengurusan tidak ada memaklumkan kemungkinan kelab ini akan beraksi di stadium lain," katanya.  

Mohd Nidzam berkata, STAR juga begitu dekat dengan FELDA United sejak kali pertama beraksi pada 2016 dan seharusnya kemudahan yang ada digunakan sebaiknya terutama penghargaan kepada peminat The Fighters.  

“Peminat terutama dalam kalangan warga peneroka Jengka dapat menyaksikan FELDA United beraksi di laman sendiri sekali gus memberi sokongan kerana musim ini kelab ini sudah kembali beraksi di Liga Super," katanya.  

Sebelum ini, difahamkan pengurusan FELDA United kemungkinan mencari stadium baharu di sekitar Lembah Klang sebagai stadium rasmi bagi saingan Liga M.  

Stadium bernilai RM92 juta itu dibuka secara rasmi pada 15 Disember 2015 dan boleh memuatkan kira-kira 25,000 penonton.  

Antara kemudahan disediakan termasuk padang rumput tiruan, bilik persalinan, ruang parkir yang luas dan gimnasium.

Berita Harian X