Sabtu, 12 Januari 2019 | 12:15pm
YUSRI Che Lah

Yusri harap Syazwan manfaat peluang

KUALA LUMPUR: “Berusahalah merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan baharu!”

Itu nasihat pengendali Kuala Lumpur, Yusri Che Lah kepada bekas pemain muda skuad The Hawks, Syazwan Andik Ishak yang tidak lagi akan bersama mereka bagi saingan musim 2019 selepas membuat keputusan untuk menyertai pasukan lain.

“Saya mengharapkan dia dapat membarisi kesebelasan utama pasukan baharunya nanti kerana pada saya, dia sememangnya material skuad kebangsaan.

“Jadi ini akan memberikan cabaran yang lebih besar buat dirinya tetapi satu kerugian seandainya kemampuannya disia-siakan.

“Apapun, dengan prestasinya ketika ini dan kematangan dalam corak persembahannya, saya optimis tempatnya sukar untuk digugat dan selamat maju jaya bersama mana mana pasukan yang akan disertainya.”

Pada masa sama, sekali pun ‘terpukul’ dengan kehilangan pemain berusia 22 tahun itu kurang sebulan sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula, bekas jurulatih Kelantan itu enggan meratapi situasi dihadapinya.

“Saya akui ketiadaan Syazwan sedikit merencatkan persiapan pasukan kerana semua sudah sedia maklum mengenai kemampuan Syazwan, tetapi kita perlu menghormati keputusannya.

“Bagi saya, kita perlu memandang ke hadapan dan kita masih ada beberapa pemain yang mampu menggantikan tempatnya seperti Fitri Omar dan Hafiz Johar.

“Mungkin ini akan memberi peluang kepada pemain lain untuk menyerlah dan mereka seharusnya mengambil kesempatan ini dengan memberikan persembahan yang terbaik pada sesi latihan mahupun pada perlawanan,” katanya.

Terdahulu, tonggak pertahanan skuad kebangsaan itu sah meninggalkan Kuala Lumpur selepas membuat keputusan membatalkan kontraknya susulan tunggakan gaji dua bulan.

Meskipun belum rasmi, bekas pemain Johor Darul Ta’zim II (JDTII) itu dikhabarkan akan kembali ke negeri kelahirannya untuk menyertai juara Liga Super, JDT.

632 dibaca
Berita Harian X