Sabtu, 12 Januari 2019 | 11:26am
OLE Gunnar Solskjaer. - Reuters

Peluang Solskjaer kukuh reputasi

LONDON: Ole Gunnar Solskjaer mempunyai peluang keemasan untuk mengukuhkan kredibilitanya selaku pengendali tetap di Manchester United apabila skuad bimbingannya bertemu Tottenham bimbingan Mauricio Pochettino esok.

Pengendali sementara dari Norway itu setakat ini sudah menikmati kejayaan di Old Trafford apabila berjaya membimbing pasukan meraih kesemua lima kemenangan setakat ini sekali gus mencetus harapan baharu buat pemain dan penyokong.

Bagaimanapun, Pochettino masih kekal calon yang dikatakan akan menggalas tugas kerusi panas di United selepas membantu Spurs kekal bersaing untuk merebut kejuaraan Liga Perdana musim ini.

United setakat ini sudah menewaskan Cardiff, Huddersfield, Bournemouth dan Newcastle di saingan liga dan Reading pada kempen Piala FA sejak Solskjaer menggantikan Jose Mourinho bulan lalu.

Namun Tottenham yang kini menduduki tangga ketiga liga adalah lawan yang cukup berbeza dan ia bakal memberi ujian sebenar kepada United.

"Kami sudah melalui ujian getir. Bertemu Newcastle di tempat lawan serta perlawanan pertama di bawah bimbingan saya juga adalah perkara yang cukup mencabar,” kata Solskjaer.

"Begitu juga perlawanan pertama di depon penyokong sendiri. Kami tidak akan memperoleh banyak peluang untuk menyerang apabila bertemu Spurs seperti perlawanan sebelum ini.

 "Jadi apabila menguasai bola, kami perlu beraksi dengan baik dan memanfaatkan segala ruang di Stadium Wembley." - AFP

456 dibaca
Berita Harian X